Kelantan lahir 2,232 hafiz melalui 12 sekolah tahfiz

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 2,232 orang hafiz dan hafizah dari 12 sekolah tahfiz berjaya dilahirkan di Kelantan sehingga sekarang.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,496 hafiz lepasan Maahad Tahfiz Sains, Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Menurutnya hasrat itu berjaya dihasilkan bermula pada akhir 1990 setelah kerajaan PAS dibentuk dengan memperkenalkan beberapa sekolah aliran tahfiz di negeri tersebut.

“Alhamdulillah hasil kejayaan pimpinan kita telah menampakkan hasil sehingga anggota masyarakat menikmati buah yang ditanam sebelum ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan majlis Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, di sini malam semalam.

Katanya juga pelajar-pelajar lepasan Maahad Tahfiz Al-Quraan Wal Qiraat dan Maahad Tahfiz Sains Al-Quran diundang mengimamkan solat tarawih di masjid, musala di serata tempat di negeri itu.

Menurutnya kerajaan negeri melalui YIK tidak meminggirkan pendidikan akademik dan agama sehingga membuah kejayaan yang cemerlang.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1 juta untuk menjayakan pelbagai program di Madinah Ramadan.

“Peruntukan itu daripada wang yang disatukan, iaitu wang rakyat dan dibelanjakan pula untuk mereka melalui program Ramadan.

“Setiap sen yang kita dapat dari rakyat melalui kerajaan negeri masuk ke wang disatukan dan hasilnya akan dinikmati oleh rakyat dalam bentuk program kebajikan,” ujarnya.

Turut hadir Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Izani Husin dan Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman, Pengerusi Pertubuhan Akedemi Al Quran, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan bekas Pengerusi Qura’ Mesir, Syeikh Dr Ahmed Isa Al-Ma’sarawi.

Sementara itu, Johan Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan 2022, Abdullah Fahmi Che Nor mempersembahan bacaan Khatam Al Quran dan seterusnya menerima Pengijazahan Sanad Qiraat oleh Syeikh Dr Ahmed Isa. – HARAKAHDAILY 27/3/2023

- Advertisement -