Dana RM1.3 juta diagih kepada rakyat Turkiye, Syria

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kutipan dana RM1.3 juta bagi misi kemanusiaan gempa bumi Terengganu For Turkiye telah berjaya diserahkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Utara Syria baru-baru ini.

- Advertisement -

Delegasi kerajaan negeri yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah mengagihkan bantuan itu di dua tempat yang teruk ditimpa musibah itu iaitu di Kaharamanmaras, Gaziantep dan Atakya, Hatay.

Wan Sukairi berkata, delegasi kerajaan negeri telah berada di Turkiye selama lima hari empat malam bagi misi berkenaan.

“Antara program yang kami berjaya laksanakan ialah penyerahan lapan buah kontena bagi kegunaan pelajar Maahad Tahfiz di Durdu Tansel Taziye Evi dan juga untuk penduduk kehilangan rumah.

“Kontena yang berjumlah RM32,000 setiap sebuah ini dilengkapi dengan ruang tandas dan bilik tidur serta dapur yang memberi keselesaan buat penghuni untuk menjalani kehidupan harian,” katanya kepada UPDI ketika dihubungi.

Turut bersama dalam misi keempat tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, ADUN Wanita, Zuraida Md Noor, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu, M.Rozi Bidin dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.

Menurut Wan Sukairi lagi, bantuan lain yang turut disampaikan adalah pek makanan Ramadan kepada 1,000 orang penerima masing-masing di Karahamanmaras dan Utara Syria.

“Pek makanan Ramadan ini adalah buat penduduk yang terjejas bagi mendapatkan makananan sepanjang bulan Ramadan ini yang setiap pek mengandungi 16 jenis makanan asasi.

“Bantuan lain yang turut dihulurkan ialah sumbangan makananan harian lebih kepada 5,000 orang mangsa gempa bumi di penempatan sementara.

“Kami juga turut menyumbang untuk pemberian makanan harian sebanyak dua kali sehari iaitu makan tengah hari dan makan malam. Di setiap penempatan ini diuruskan masakannya oleh pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah diselaraskan. Kami cuma membantu dari sudut kewangan bagi menampung perbelanjaan untuk pembelian bahan mentah ,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah delegasi kerajaan negeri berpuas hati sepanjang misi kemanusiaan ini berlangsung, beliau amat berpuas hati dan berkata segalanya telah berjalan dengan begitu lancar.

“Saya juga mengambil ruang untuk mengucapkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sana iaitu International Youth Forum yang diwakili oleh saudara Yilmaz yang telah menjadi koordinator dan rakan kolobrasi kami.

“Merekalah yang menyusun atur dan menjadi pihak pemudahcara untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa gempa bumi ini.

Di samping itu, Wan Sukairi berkata, beliau amat berterima kasih dan terharu dengan kebersamaan rakyat Terengganu yang menyumbang bagi dana Terengganu For Turkiye ini yang berjaya meraih sumbangan RM1.3 juta meskipun tidak lebih dalam tempoh sebulan. – TRDI.my

- Advertisement -