Pelajar 14 tahun pembayar zakat perniagaan termuda di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang pelajar berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban, Pasir Mas dekat sini muncul sebagai pembayar zakat perniagaan termuda setakat ini di Kelantan.

- Advertisement -

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mohd Mustamaman, atau lebih dikenali sebagai Piya, membayar zakat perniagaan sebanyak RM10,000 bagi tahun 2022 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada Khamis lepas.

Ditemani ibu bapanya, Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya menyerahkan zakat itu kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

Bercakap kepada Bernama, remaja itu berkata zakat perniagaan tersebut dapat dikeluarkan hasil perniagaan produk pengganti pemakanan yang diusahakannya selama empat bulan bermula September tahun lepas yang menyaksikan dia mampu meraih jualan sebanyak RM400,000.

“Saya tidak menyangka pada usia muda ini saya mampu meraih hasil jualan sehingga mencecah enam angka dengan mengusahakan produk sendiri.

“Saya juga mendengar nasihat ibu saya, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin, 46, dan ayah, Mustaman Che Yusof, 60, untuk menunaikan rukun Islam keempat ini. Saya berharap ia mampu membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

MAIK dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya adalah pembayar zakat termuda di Kelantan dan berharap sikap positif remaja itu akan menjadi inspirasi kepada semua.

“Sama-sama kita doakan agar hasrat anak keenam daripada lapan beradik ini untuk menjadi pembayar zakat tertinggi MAIK dan membantu asnaf-asnaf di Kelantan menerusi zakat akan menjadi kenyataan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -