Gagal temui Putera Mahkota Saudi: Anwar perlu jelaskan

Wan Ahmad Fayhsal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada satu pun laporan berita  yang mengesahkan pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman ketika Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu melawat Arab Saudi baru-baru ini.

Demikian hujah Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam suatu kenyataan media pada hari ini.

- Advertisement -

“Tiada juga laporan yang menyatakan Perdana Menteri (Anwar) dijemput memasuki Kaabah, sepertimana selayaknya layanan yang biasa diberikan kepada seorang Ketua Kerajaan yang berada dalam lawatan rasmi ke Kota Suci itu sebagaimana (layanan istimewa) yang diberikan kepada mantan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika melawat Arab Saudi).”

Beliau mempersoalkan perkara tersebut yang terjadi di sebalik lawatan Anwar ke Saudi dari 22 hingga 24 Mac lalu seperti dalam kenyataan media Wisma Putra bertarikh 22 Mac 2023.  

Antara persoalan yang dilontar Fayhsal ialah pertama, apakah penjelasan pejabat Perdana Menteri (PMX)  di atas ketiadaan pertemuan di antara beliau dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman walaupun kenyataan Wisma Putra telah mengesahkan pertemuan tersebut bakal diadakan di antara kedua-dua mereka?

“Kedua, adakah PMX telah memastikan segala aturan jemputan dan pertemuan sudah disahkan terlebih dahulu sebelum Perdana Menteri berlepas ke Arab Saudi?

“Ketiga, dalam perkara ini, adakah PMX sudah mengesahkan semua pertemuan termasuk pertemuan di antara beliau dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebelum  berlepas ke Arab Saudi? Sekiranya ada, apakah yang telah berlaku sehingga mengakibatkan Perdana Menteri gagal berjumpa dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman?” soal Fayhsal.

Sehubungan itu, beliau menggesa Anwar untuk membentangkan seluruh kos lawatan tersebut,  diikuti segala kos perjalanan dan perbelanjaan pasukan keselamatan, delegasi dari Pejabat Perdana Menteri serta dari Pejabat Menteri-Menteri yang telah mengiringi PMX itu dalam siri lawatan ke Saudi baru-baru ini.

Fayhsal turut menegaskan bahawa Saudi bukan sahaja merupakan rakan dagangan penting Malaysia, malah mempunyai hubungan yang amat akrab dengan Malaysia. 

“Di atas kepentingan ini, Perdana Menteri diminta untuk menjelaskan kegagalan lawatan ini di dalam Dewan Rakyat agar ahli-ahli Parlimen dapat merungkai dan menghuraikan dengan lebih lanjut supaya hubungan rapat dua hala kedua-dua negara akan terus dipertahankan,” katanya.

Terdahulu, laman web Malaysianow.com melalui berita berjudul, Anwar gagal bertemu Putera Mahkota dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi, membandingkan perbezaan layanan yang diterima PMX dengan Muhyiddin ketika masing-masing melawat Saudi, memandangkan Muhyiddin berjaya mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Saudi pada 2021.

Malaysianow.com memetik laporan Bernama yang berkata pertemuan yang dijadualkan itu tidak berlaku kerana Putera Mahkota Saudi mempunyai perubahan rancangan menjelang bulan Ramadan. 

Tambah laporan Malaysianow.com, Anwar sendiri berkata beliau kecewa kerana tidak dapat bertemu, tetapi terus mendakwa bahawa pemimpin Saudi itu meminta beliau melanjutkan tempoh lawatan selama dua hari lagi untuk bertemu dengan pemimpin kerajaan.

Sehubungan itu, Anwar dikatakan mendakwa beliau tidak boleh tinggal lebih lama kerana terpaksa menghadiri majlis iftar (berbuka puasa) bersama Yang di-Pertuan Agong, serta membuat lawatan rasmi sehari ke Kemboja.

Ketika lawatan ke Saudi itu, Anwar dilaporkan menemui antaranya Gabenor Jeddah, Presiden Bank Pembangunan Islam, dan seorang pegawai Liga Dunia Islam, kumpulan propaganda Saudi yang dikatakan sudah lama dikaitkan dengan beliau. – HARAKAHDAILY 25/3/2023

- Advertisement -