Bersabar laksana kebajikan dalam hadapi musuh

- Advertisement -

TAWAU: “Antara syarat kemenangan adalah dengan membina kekuatan rohani iaitu kekuatan dalaman kerana di sana akan terbinanya keyakinan yang teguh,” kata Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

- Advertisement -

Menurutnya, antara syarat kemenangan juga, jemaah perlu bercirikan gerakan Islam yang sempurna dengan persediaan kekuatan lahiriah termasuklah organisasi yang tersusun, pejabat yang lengkap dan dana untuk melaksanakan gerak kerja.

“Ahli jemaah ini juga harus istiqamah membina kekuatan bukan sahaja peribadi tetapi juga kekuatan jemaah.

“Saya ingin mengingatkan muslimat agar bersabar dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan dan dalam menghadapi musuh di medan perjuangan serta bertakwa kepada Allah,” ujarnya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah kali ke-33, di sini, semalam. Turut hadir ialah Timbalan dan Ketua Penerangan PAS Negeri, Sahar Abdul Majid dan Ahmad Dullah.

Beliau yang juga ahli Parlimen Temerloh berkata, bagi mencapai kemenangan perlunya empat ciri penting dalam diri ahli iaitu beriman sebenar-benarnya hanya kepada Allah.

Ini, ujarnya kerana dengan keimanan yang kental, ahli mampu berkorban masa, tenaga juga kewangan untuk terus ke depan dengan kuat.

“Bersabar dalam menghadapi ujian diri dan juga musuh. Apabila berhadapan dengan pelbagai musuh, ada masa kita kena sabar walaupun marah, namun ada masa kita kena bangun mempertahankan.

“Laksanakan tugas dengan sebaiknya dalam lajnah masing-masing,” ujarnya lagi.

Beliau mengingatkan ahli untuk menanam sifat taqwa secara berterusan serta istiqamah dengan menghadiri program tarbiah, dakwah dan siasah. – HARAKAHDAILY 26/3/2023

- Advertisement -