PRN: PN siap sedia rampas negeri PH

Abdul Hadi menerima replika cek daripada kerajaan Negeri Terengganu selaku antara penyumbang, diiringi Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) dan Mohd Yusni (kiri) dalam majlis Iftar Ramadan sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di Kuala Lumpur pada 25 Mac 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) sudah bersiap sedia untuk berjuang dan akan mempertahankan negeri-negeri (pimpinan) parti itu serta akan merampas negeri-negeri Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata PN yakin mampu merampas semula Selangor dan Negeri Sembilan, selain mengambil sebahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dalam  Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka berlangsung pada Julai atau awal Ogos ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan demikian mengenai potensi PN dalam PRN bagi Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang itu dalam sidang akhbar pada Iftar Ramadan sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief di Hotel Grand Barakah, Ampang, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam Iftar Ramadan tersebut ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Timbalan yang Di-Pertua PAS Bandar Tun Razak, Dr Rosni Adam; dan Pengarah PasRelief, Mohd Yusni Mat Piah.

Dalam majlis tersebut, di samping menyampaikan amanat beliau, Abdul Hadi turut menerima serahan replika cek oleh penyumbang terdiri daripada  badan-badan pertubuhan kerajaan (NGO) dan organisasi sempena kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria.

Muhammad Sanusi (tengah) bersama-sama (dari kiri), Dr Rosni, Mohd Yusni, Tuan Ibrahim dan Idris pada sidang akhbar sempena Iftar Ramadan sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PasRelief juga memaklumkan bahawa PN  sudah melancarkan jentera PRN iaitu gegar gempur 100 hari bermula tiga atau empat hari lepas sehingga 28 Jun ini selain daripada penubuhkan jawatankuasa jentera PRN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan negeri.

Beliau turut menambah bahawa strategi yang disusun selama 100 hari tersebut merupakan ‘perancangan rahsia’ dan tidak boleh memberitahu kepada mana-mana media mengenai perkara tersebut.

Walau bagaimanapin, beliau berkata, PN sudah mempunyai calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ di Selangor dan Negeri Sembilan bagi menghadapi PRN tersebut.

“PN dah ada calon Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan iaitu calon ‘poster boy‘ kita. Kita akan ketengahkan calon Menteri Besar kita.

“Namun, calon-calonnya masih rahsia,” katanya.

Tambah beliau, dalam menghadapi PRN kelak, PN telah hampir selesai pembahagian kerusi di enam negeri berkenaan.

“PN turut melantik mas’ul (atau koordinator) di enam negeri yang terlibat PRN membabitkan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.

Muhammad Sanusi dan Tuan Ibrahim membawa perkhabaran tentang PN yang kini sudah bersiap sedia dalam menghadapi PRN enam negeri menjelang Julai atau awal Ogos tahun ini.

Sementara, menurut Tuan Ibrahim, PN yakin bahawa agihan kerusi dalam kalangan parti komponen PN tidak berdepan banyak masalah.

“Agihan sesama parti komponen PN dapat diselaraskan secara bersama dengan mudah tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

“Insya-Allah, dengan kekuatan bersama, kita yakin tak banyak masalah sangat. Biasanya isu (agihan) kerusi (dalam kalangan) PN cukup mudah untuk kita berbincang termasuk dengan (parti) Gerakan  supaya dapat diselaraskan,” jelasnya. 

Beliau juga memberitahu bahawa mesyuarat pimpinan PN telah membuat keputusan untuk mengekalkan logo PAS di Kelantan dan Terengganu pada PRN.

“Ketetapan menggunakan logo PN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan turut diputuskan dalam mesyuarat sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2023

- Advertisement -