Siapakah yang buta sejarah, ‘mungkar sejarah’?

Awang Sariyan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mutakhir ini, pemerhatian umum menunjukkan bahawa ‘buta sejarah’ dan ‘mungkar sejarah’ dalam kalangan masyarakat menjadi sebab utama berlakunya pertikaian kebenaran dan hakikat kepada sesebuah negara.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkongsi pandangan beliau bahawa golongan yang buta sejarah mungkin dapat dibantu untuk mengenal sejarah dan mungkin akan dapat berubah sikap, tanggapan dan tindakannya apabila mengakui hakikat sejarah. 

- Advertisement -

“Golongan kedua menjadi batu penghalang besar kerana tidak buta sejarah tetapi dengan sengaja tidak menghormati sejarah. Inilah golongan ‘mungkar sejarah’,” kongsi beliau melalui Facebooknya.

“Maka, beberapa pancang induk pembinaan negara sengaja diganggu gugat seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-raja sebagai ketua negara dan negeri, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain,” tulis beliau. 

Selain itu, beliau juga turut menyatakan agar Akta Hasutan seharusnya digunakan untuk mengambil tindakan kepada sesiapa yang mungkar sejarah itu, kerana menggugat kestabilan negara dan menentang undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan tindakan itu tidak berkaitan dengan keturunan dan kelompok tertentu, baik orang-orang Melayu mahupun orang bukan Melayu,” ungkapnya. 

Sebagai contoh, ujar beliau lagi, walaupun empat pancang kenegaraan tampak berteraskan penduduk majoriti iaitu orang Melayu dan Bumiputera, namun begitu, ada dalam kalangan mereka yang mungkar sejarah seperti menentang Raja, menolak Islam sebagai agama Persekutuan dan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Ada kumpulan elit Melayu yang menamakan kumpulan mereka dengan nama tertentu yang terang-terangnya telah menyangah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” dedahnya.

Sehubungan itu, katanya lagi bagi golongan Melayu dan bukan Bumiputera, tidak ada sebab untuk mereka berasa diri mereka telah didiskriminasi.

“Hal ini kerana, dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan telah pun ada menyebut ‘hak-hak sah kaum lain’. 

“Orang Melayu, sebagaimana yang diungkapkan oleh Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambatahan telah dengan ikhlasnya menerima rakan-rakan bukan Melayu sebagai warganegara sebuah negara merdeka tanpa syarat, melalui ‘jus soli’. 

“Demikian juga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan agamanya dengan bebas,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak menghalang penggunaan bahasa lain kecuali dalam urusan rasmi kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan rasmi dilangsungkan dalam bahasa Melayu. 

Justeru, beliau turut menyatakan bahawa sekiranya berlaku insiden tertentu dalam melaksanakan program yang tidak menepati lunas keadilan, maka tindakan keras perlu diambil kepada pelaksana program itu kerana tindakan itu bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan hak sah kaum lain selain kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera. 

“Sejarah hendaklah difahami dan diakui sebagai asas mewujudkan persefahaman dan perpaduan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2023

- Advertisement -