Perlis di bawah PN berusaha tarik pelaburan baharu

Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

PENTADBIRAN kerajaan Perlis di bawah Perikatan Nasional (PN) melewati 100 hari baru-baru ini. Dalam tempoh singkat kejayaan Perlis di bawah PN tidak dapat dinafikan lagi. Oleh itu bagi melihat dari dekat perkembangannya ikuti temubual wartawan NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF bersama Menteri Besar Perlis, MOHD SHUKRI RAMLI di Pejabat Menteri Besar baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakahdaily: Kerajaan PN berjaya mencapai 100 hari pentadbiran, boleh YAB kongsikan pengalaman sebagai bekas guru yang kini bergelar sebagai Menteri Besar mentadbir Perlis selepas lebih 65 tahun dikuasai kerajaan Barisan Nasional (BN)?

Mohd Shukri: Cabaran hebat ialah untuk menyesuaikan diri dengan sistem pentadbiran kerajaan. Walaupun saya sudah menjadi wakil rakyat selama dua penggal sebelum ini tetapi tidak terlibat secara langsung dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Pertamanya, saya sangat berterima kasih kepada kakitangan awam khususnya ketua jabatan yang memberi kerjasama baik kepada saya dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), sebab kami semua baharu.

Keduanya untuk memahamkan seluruh lapisan masyarakat khususnya ahli dan penyokong parti dalam proses untuk menyesuaikan diri kerana sudah lama menjadi pembangkang tetapi kini berada di saf kerajaan pula.

Kita sekarang bukan sahaja perlu menumpukan kepada pentadbiran parti, tetapi juga pentadbiran negeri yang mana semua rakyat akan disantuni sebaiknya. Ahli parti kini semakin faham perbezaan pentadbiran kerajaan dan parti yang sudah tentu amat berbeza.

Kini pentadbiran PN telah mencapai 100 hari, bolehkah YAB berkongsi mengenai pencapaian dan prestasi keseluruhan sepanjang tempoh tersebut?

Dalam tempoh 100 hari peralihan, kita berjaya menarik pelaburan baharu bernilai RM318 juta melibatkan tiga projek. Untuk maklumat tambahan, terdapat empat pelaburan lagi yang belum dimuktamadkan nilainya kerana masih dalam proses penelitian.

Selain itu, kita juga memberikan pembiayaan sebanyak RM500,000 kepada penjaja dan peniaga kecil melalui peruntukan dana Menteri Besar Incorporation (MBI).

Menerusi Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) secara purata kita menerima 319 aduan telah direkodkan, 196 laporan sedang dalam proses tindakan manakala 123 lagi sudah selesai dalam bentuk sumbangan serta tindakan.

Untuk agenda kaum wanita pula, kita akan mewujudkan sebuah hospital ibu dan anak menerusi kerjasama pelaburan dalam bidang perubatan di antara Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) dengan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs).

Perkara penting yang menjadi hasrat kita ialah ke arah mencapai negeri bersih bagi menarik pelancong luar kerana kita rancang akan mengadakan Tahun Melawat Perlis 2024.

Kita harap rakyat dapat membuat persediaan untuk menerima pelancong yang ramai ke negeri Perlis. Alhamdulillah menerusi penganjuran Pesta Angin Timur 2023 (PAT 2023) lepas, Perlis berjaya menarik jumlah pengunjung yang paling ramai setakat ini iaitu 332,803 orang.

PAT 2020 sebelum ini direkodkan sekitar 127,160 iaitu peningkatan melebihi 160 peratus.

Pendekatan YAB dilihat agak lebih lembut, apa pandangan YAB?

Saya tidak terlalu bertindak drastik dan lebih lunak dengan semua orang. Kita harap seluruh lapisan rakyat dapat menerima pendekatan yang dibawa ini. Kita harap tidak ada orang yang akan terasa hati dan tertinggal dengan pendekatan yang dibuat.

Kerajaan juga lebih terbuka untuk menerima kritikan dan teguran untuk membantu meningkatkan lagi proses pentadbiran. Mereka orang muda, saya orang tua..saya dengan cara saya.

Berbeza dengan Kedah, Terengganu atau Kelantan yang mempunyai sumber ekonomi, bagaimanana perancangan kerajaan negeri menjana pulangan untuk negeri supaya tidak terlalu bergantung kepada Pusat?

Pertamanya, kerajaan negeri sangat mengalukan kedatangan pelabur seperti yang saya sebutkan tadi mengenai jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke Perlis.

Saya juga memohon kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya kawasan industri makanan iaitu padi di negeri Perlis perlu dibantu bagi memastikan industi padi ini dapat dikekalkan.

Ini kerana 80 peratus di seluruh negeri adalah kawasan pertanian dan bakinya sahaja untuk kawasan perindustrian yang menyebabkan Perlis agak lambat untuk mencapai target negeri yang pendapatannya mencukupi. Secara dasarnya, beliau bersetuju mengenai perkara ini.

Pelancongan juga dilihat antara prospek utama yang menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini dengan meningkatkan lagi prasarana serta memudahkan kehadiran pelancong.

Jika kawasan itu dibangunkan oleh individu, kita harap mereka juga dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan sebagai kerajaan negeri. Kita akan bantu dari sudut promosi.

Tempat penginapan perlu dibangunkan lagi dan alhamdulillah baru-baru ini kita menerima dua permohonan untuk membina hotel bertaraf tiga bintang.

Produk-produk tempatan juga akan ditingkatkan supaya pelancong yang datang akan mendapat satu kelainan sebagai memori indah kepada mereka.

Begitu juga dengan pengeluaran buah Harumanis agar dapat dinikmati oleh pelancong, para pengusaha juga diingatkan agar tidak menjual dengan harga yang terlalu mahal.

Selain itu, Perlis mempunyai kelebihan tersendiri kerana bersempadan dengan Thailand bagi menjana hasil kepada kerajaan?

Kita dalam usaha membuka semula Wang Kelian kerana jika projek tersebut diluluskan oleh kerajaan pusat, kehadiran pelancong dapat ditingkatkan.

Selain itu, Kompleks beli-belah Padang Besar Pavilion juga akan menarik kehadiran pelancong sekaligus menjadikan Perlis bukan sekadar negeri persinggahan untuk ke Langkawi atau Thailand sahaja.

Perumahan di kawasan tersebut juga sedang dalam perancangan dan jalan raya baharu bagi memudahkan perjalanan rakyat dan pelancong.

Adakah YAB berpuas hati dengan prestasi barisan Exco setakat ini?

Sehingga hari ini, kita sedang belajar dan menghayati bidang kerja yang diamanahkan. Sebahagian Exco masih belum dapat memberi tumpuan, insya-Allah kita akan tingkatkan lagi kefahaman bidang tugas yang diberikan termasuk saya sendiri. Sebab kami semua baharu dan masih perlu belajar.

Kita akan lihat perkembangan sepanjang setahun ini, jika perlu dibuat rombakan atau penambahan kita akan buat. Insya-Allah.

Berbanding Menteri Besar sebelum ini, YAB dilihat membawa imej yang cukup baik dalam kalangan rakyat, namun rakyat sudah pastinya menantikan sesuatu khususnya dalam aspek peluang pekerjaan dan pembangunan yang mampu memberi manfaat kepada mereka, apakah perancangan YAB?

Saya sebenarnya menumpukan kepada pelaburan yang dapat memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat, contohnya pelaburan dari syarikat DXN Holding Berhad yang membuka peluang kepada 2000 pekerja.

Sebab itu Perlis tidak memberi tumpuan kepada pelaburan tenaga solar kerana ia tidak membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat.

Perlis sebelum ini diketahui sebagai kubu kuat BN namun dalam PRU15, rakyat Perlis sudah berani membuat perubahan, sudah pastinya rakyat meletakkan harapan terhadap kerajaan PN melakukan perubahan?

Saya mahu mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat Perlis yang berani membuat perubahan.

Seperti mana kita mengambil masa hampir 70 tahun untuk memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri, begitu juga perubahan yang akan dibuat tidak terlalu laju agar ia kekal lama.

Kalau laju sangat pun, kita akan cepat penat tetapi insya-Allah akan ada perubahan dari sebelum ini. PN akan berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kerana rakyat sekarang sudah bijak dan berani membuat perubahan.

Bagaimana YAB melihat penerimaan rakyat Perlis terhadap pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Saya melihat momentum rakyat terhadap PN masih kekal seperti dalam Pilihan Raya lepas. Saya juga menyeru kepada seluruh rakyat yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri akan memilih PN sebagai pilihan utama mereka.

Kita juga memberi layanan yang sama kepada semua kaum, seperti sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini walaupun mereka tidak menyumbang banyak undi kepada PN tetapi kita tetap santuni mereka sebagai rakyat.

Justeru mereka perlu sedar yang PN tidak membezakan atau berdendam dengan mereka. – HARAKAHDAILY 24/3/2023

- Advertisement -