‘Cahaya Ramadan’ sinari jalan raya London

Paparan imej ‘cahaya Ramadan’ menerangi salah satu kawasan paling terkenal di London di Coventry Street yang menghubungkan Piccadilly Circus dan Leicester Square. (FOTO: BBC)
- Advertisement -

LONDON: Jalan raya di London kini disinari lampu-lampu indah yang menyampai mesej Ramadan sempena ketibaan bulan suci umat Islam pada tahun ini.

Paparan imej ‘cahaya Ramadan’ itu menerangi salah satu kawasan paling terkenal di London sejak malam Selasa (21 Mac) lalu, buat pertama kalinya di Coventry Street yang menghubungkan Piccadilly Circus dan Leicester Square.

- Advertisement -

Sebanyak 30,000 biji lampu LED digunakan untuk membentuk 61 hiasan bulan serta tulisan ‘Ramadan Lights’ (‘Cahaya Ramadan’) yang akan dinyalakan sehingga 21 April ini, lapor Time Out.

Ia dirasmikan oleh Datuk Bandar Muslim di bandar itu, Sadiq Khan, yang berkata ini adalah kali pertama sebuah bandar raya Eropah menyambut bulan suci Islam dengan cara ini.

Pemasangan lampu-lampu berkenaan diketuai oleh Ramadan Lights UK, menampilkan 30,000 lampu lestari itu  yang menggambarkan fasa bulan; yang mana mengikut kalendar Islam, tarikh bulan Ramadan ditetapkan  adalah berdasarkan kitaran bulan.

Pengasas Ramadan Lights UK, Aisha Desai memberitahu New Arab bahawa Ramadan adalah bulan mulia buat umat Islam yang ramai menetap di Britain.

“Terdapat ramai orang Islam di United Kingdom, jadi kita harus diwakili… kita tinggal di bandar yang benar-benar menakjubkan ini (London) adalah… dengan pelbagai budayanya. 

Warga London tidak ketinggalan merakam keindahan Ramadan Lights UK yang pertama kali dipamerkan di Coventry Street ini.

“Saya fikir ia juga sangat penting bagi saya sebagai seorang wanita muda Islam untuk memberi inspirasi kepada anak muda Islam yang lain, dan orang bukan Islam, untuk mengetahui bahawa langit adalah hadnya. Kita boleh melakukan apa sahaja yang kita mahu lakukan, asalkan kita tabah,” katanya.

Desai percaya bahawa inisiatif seperti Ramadan Lights UK akan membantu memerangi Islamofobia dan meningkatkan kesedaran tentang tradisi, kepercayaan dan amalan budaya Muslim.

“Mesej yang indah untuk mengatakan seperti, kami melihat anda. Anda berada di sini dan… ini adalah rumah anda. Dari mana pun latar belakang anda, ini adalah rumah anda yang lain,” kata Soukaina Ichanti, yang melawat Ramadan Lights UK.

“Sebelum ini kami disajikan dengan  lampu-lampu  Krismas dan kini lampu-lampu Ramadan yang juga memabwa mesej yang indah bahawa kita harus hidup bersama walaupun berbeza  kepercayaan kita,” tambahnya memberitahu New Arab.

Seorang blogger video, Shehwar pula memberitahu Ramadan Lights UK  sangat istimewa dan ia membuatkan saya berasa sangat bangga menjadi seorang Muslim British. 

Sebanyak 30,000 biji lampu LED digunakan untuk membentuk 61 hiasan bulan serta tulisan Ramadan Lights yang akan dinyalakan sehingga 21 April ini di Coventry Street, London.

“Ia hanya menunjukkan betapa pelbagai budaya, betapa pelbagai dimensi kita sebagai sebuah masyarakat. Saya tidak pernah lebih bangga menjadi orang British,” ujarnya.

Ramadan Lights UK pada mulanya menyalakan struktur dengan fasa bulan pada Ramadan 2021 dan meletakkannya berhampiran Jalan Pekeliling Utara (North Circular Road) yang sibuk di London, sebuah lebuh raya orbit yang melintasi ibu negara Britain itu.

Pada Ramadan 2022 pula,  Desai menempatkan pemasangan lampu-lampu Ramadan di Henley’s Corner di utara London, salah satu jalan paling sibuk di bandar itu.

Tahun ini, pemasangan itu biar pertama kalinya diletakkan di tengah-tengah London, di jalan yang dikunjungi oleh berjuta-juta orang semasa bulan suci kali ini.

Sambutan positif yang besar terhadap Ramadan Lights UK telah memberi inspirasi kepada Desai untuk membuat yang terbaik pada tahun ini yang akan berakhir pada 21 atau 22 April, bergantung kepada penampakan bulan.

Inisiatif Ramadan Lights UK tahun ini diwujudkan dengan kerjasama Aziz Foundation dan Heart of London Business Alliance. – HARAKAHDAILY 24/3/2023

- Advertisement -