Tangani segera isu kanak-kanak miskin keciciran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan usaha bagi memastikan kanak-kanak miskin tidak tercicir dalam pendidikan, kata Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh).

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang berkata, peruntukan sosioekonomi keluarga miskin melibatkan RM408 juta.

- Advertisement -

“Kita tahu bahawa sosioekonomi keluarga miskin akan memberi kesan kepada pendidikan anak-anak sehingga berlaku masalah keciciran dalam pendidikan.

“Apakah usaha-usaha kementerian bagi memastikan kanak-kanak miskin tidak tercicir dalam pendidikan?

“Berapa peratus usaha kementerian memberi hasil khususnya pelajar atau pun kanak-kanak miskin di luar bandar? Apakah bentuk-bentuk bantuan yang dilaksanakan,” soal beliau.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat, hari ini.

Salamiah juga meminta kerajaan supaya diberi kuasa kepada pihak berkenaan supaya memudahkan urusan mereka untuk memberi pengesahan sebagai golongan miskin.

“Temerloh juga ingin membangkitkan berkaitan dengan pengesahan golongan miskin yang hanya diberikan kepada Tok Penghulu.

“Jika borang itu dicop atau disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen tidak diterima, saya mahu supaya untuk memudahkan urusan, diberikan ruang autoriti kepada wakil rakyat, ADUN dan Ahli Parlimen untuk memberikan pengesahan sebagai golongan miskin,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -