Sukarnya cari tempat letak kereta di hospital kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kesihatan negara perlu ditambah baik, termasuk isu kekurangan tempat letak kereta yang kritikal di hospital kerajaan.

Sehubungan itu, Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan perancangan kerajaan untuk membina tempat letak kereta bertingkat di seluruh hospital kerajaan bagi menyelesaikan isu itu.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ketika ini KKM lebih memberi tumpuan kepada penyediaan keperluan penjagaan kesihatan dan perubatan.

Bagaimanapun, katanya bagi penambahan bangunan atau perkhidmatan hospital pada masa akan datang, KKM akan mempertimbangkan penyediaan tambahan tempat letak kereta bagi menampung keperluan yang dijangka meningkat bergantung kepada peruntukan yang dapat disediakan.

“Bagi fasiliti baharu pula, kementerian merancang untuk mereka bentuk tempat letak kereta sebagai sebahagian daripada podium bangunan utama dan dengan itu, tempat letak kereta yang mencukupi dapat disediakan walaupun keluasan tapak adalah terhad,” katanyan ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika mengemukakan soalan tambahan, Dr Alias berkata, KKM juga mengalami masalah lain seperti kekurangan kakitangan dan fasiliti bagi menghadapi bencana.

“Banyak perkara yang ditimbulkan tentang kekurangan dalam perkhidmatan KKM antaranya kekurangan doktor dan jururawat, kebajikan kakitangan, hospital dalam keadaan daif dan kekurangan fasiliti bagi menghadapi bencana yang besar seperti wabak Covid-19 baru-baru ini.

“Justeru, apakah Kertas Putih Kesihatan yang sedang disediakan dan bakal dibentangkan nanti mengambil kira semua perkara kritikal ini dan adakah ia melibatkan semua pihak yang berkepentingan serta bila dijangka akan dibentangkan di dewan ini,” katanya.

Lukanisman pula memberitahu, Kertas Putih Kesihatan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang pertengahan tahun ini. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -