Sukan popular perlu bakat baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pencarian bakat baharu bagi sukan popular negara ini seperti badminton dan bola sepak mendapat perhatian Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin).

Beliau meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan perancangan yang dilakukan dalam usaha mencari bakat baharu berkenaan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, berkata kementerian melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) akan menganjurkan pertandingan Liga Sukan Komuniti di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan untuk mencari bakat baharu dalam sukan bola jaring, futsal dan bola keranjang dengan sasaran penyertaan seramai 100,000 orang.

Katanya, pemilihan jenis sukan berkenaan adalah berdasarkan kepada minat masyarakat setempat.

“Bagi sukan badminton pula, kementerian melaksanakan Kem Bakat Badminton peringkat zon tahun 2022 melibatkan penyertaan seramai 360 remaja berumur antara 8 hingga 12 tahun,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Adam adli berkata, kementerian melalui Majlis Sukan Negara (MSN) turut mencari bakat baharu khusus untuk 16 jenis Sukan Teras bagi memastikan kesinambungan program pembangunan sukan berprestasi tinggi.

Katanya, antara program yang dilaksanakan ialah program bakat yang memberi fokus kepada atlet berumur antara 13 hingga 15 tahun.

Sehingga kini, katanya sebanyak 165 Pusat Latihan Daerah (PLD) telah ditubuhkan dengan 172 jurulatih bertauliah sedang melatih 2,232 atlet.

“Program Pelapis Negeri yang memberi fokus kepada atlet berumur di bawah 21 tahun. Sehingga kini, sebanyak 319 Pusat Latihan Negeri (PLN) telah ditubuhkan dengan 410 jurulatih bertauliah sedang melatih 6,769 atlet,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -