RM190 juta naik taraf jalan perkampungan Orang Asli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah diminta memberi tumpuan untuk menaik taraf jalan di perkampungan Orang Asli yang terletak berhampiran sempadan Perak.

Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) berkata, lokasi tersebut sering berlaku hujan sehingga menyebabkan jalan sukar dilalui kenderaan.

- Advertisement -

Sebagai contoh, katanya jalan ke Pos Balar begitu mencabar dan tidak boleh dilalui ketika musim hujan.

“Saya berharap kementerian menambun batu bagi membolehkan jalan itu dilalui kenderaan ketika hujan. Penempatan itu terdapat ramai penduduk Orang Asli yang berdepan kesukaran untuk keluar masuk ketika musim hujan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Gua Musang.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM190 juta bagi melaksanakan projek jalan perhubungan desa di kawasan penempatan Orang Asli yang melibatkan jarak sepanjang 94 kilometer.

Katanya, jalan terbabit termasuk yang menghubungkan Kampung Kuala Betis dan Pos Hau, sekali gus akan memberi manfaat kepada kira-kira 7,100 penduduk Orang Asli.

“Projek itu masih di peringkat perolehan dan akan ditender tahun ini. Jalan tersebut akan dimasukkan dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi tujuan penyelenggaraan.

“Bagi program jangka pendek, kementerian melaksanakan beberapa projek termasuk dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bagi menaik taraf jalan di perkampungan Orang Asli, termasuk peruntukan sebanyak RM2.1 juta bagi menaik taraf jalan Pos Simpul,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -