Ramadan tercemar: Israel serang hospital Palestin

Ketika dunia Islam sedang meraikan kedatangan Ramadan pada hari ini, tentera Israel melancarkan kempen besar-besaran pencerobohan ke Tebing Barat yang diduduki dan menangkap 28 rakyat Palestin. (FOTO FAIL: REUTERS)
- Advertisement -

RAMALLAH: Ketika dunia Islam menyambut kedatangan bulan suci Ramadan pada hari ini, tentera Israel melancarkan kempen pencerobohan besar-besaran ke Tebing Barat yang diduduki dan menangkap 28 rakyat Palestin.

Lebih kejam, tentera laknat Israel secara intensif melontar peluru gas pemedih mata ke arah sebuah hospital di Ramallah, menjejaskan berpuluh-puluh pesakit, termasuk bayi baru lahir dalam inkubator, dan kakitangan perubatan, dengan  pesakit mengadu sakit dada akut, lapor Arab News.

- Advertisement -

Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al-Kaila  dalam kenyataan pada Rabu (22 Mac) sehubungan itu menyeru institusi hak asasi manusia dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah bertindak segera terhadap serangan Israel yang semakin meningkat ke atas pusat kesihatan, pesakit dan kakitangan ambulans.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata bahawa sejak awal tahun ini, berpuluh-puluh kes serangan secara sengaja di pusat rawatan di pelbagai muhafazah telah didokumenkan.

“Ambulans disasarkan dan kru telah dihalang daripada mendapatkan dan merawat orang ramai yang cedera, yang membawa kepada kecederaan berpuluh-puluh pesakit di dalam pusat rawatan dan semasa pemindahan mereka antara bandar dan pusat perubatan,” katanya.

Salah seorang mangsa yang berada di dalam hospital terbabit, ibu kepada seorang kanak-kanak yang sakit berkata: “Kami tidak tidur sepanjang malam kerana gas beracun yang dilepaskan oleh pasukan pendudukan ke arah hospital. 

“Anak saya masih mengalami kesannya. Bau gas beracun itu masih berlegar di wad pesakit, menghalang kerja jururawat.”

Salah seorang pesakit pula memberitahu bahawa bau gas membuatkan dirinya sesak nafas dan sakit di bahagian dada.

Saksi kejadian melaporkan bahawa kawasan yang paling terjejas adalah  unit pembedahan jantung, resusitasi dan jabatan kanak-kanak.

Mogok lapar hari pertama Ramadan 

Sementara itu, 2,000 warga Palestin yang dipenjarakan oleh Israel melancarkan mogok lapar hari pertama bulan Ramadan, sebagai protes terhadap langkah penindasan yang diumumkan oleh Israel atas saranan Menteri Keselamatan Negara,  Itamar Ben-Gvir.

Pihak berkuasa penjara Israel  dalam satu kenyataan telah mengancam untuk mengambil tindakan menghukum terhadap tahanan yang berhasrat untuk memulakan mogok umum bertepatan dengan kedatangan Ramadan.

“Perintah pentadbiran penjara akan mendisiplinkan banduan yang mogok lapar. 

“Pentadbiran penjara tidak akan bertolak ansur dengan gangguan dan pelanggaran disiplin dan akan bekerja secara profesional dan tegas terhadap sebarang ancaman,” ujar kenyataan itu.

Sejak 14 Februari lalu, warga Palestin yang dipenjarakan Israel telah membuat bantahan selepas pentadbiran penjara mengumumkan pelaksanaan langkah keras – termasuk catuan air, mengurangkan masa mandi, memastikan bilik mandi berkunci dan menyediakan roti basi untuk dimakan banduan – atas arahan Ben-Gvir.

Di sesetengah penjara, pentadbiran menggandakan tindakan keras menggunakan bom tangan bius dan anjing penghidu.

Banduan telah melancarkan  lebih 26 mogok terkoordinasi sejak tahun 1970, yang mana impaknya mereka berjaya mengubah keadaan mereka dalam tahanan.

Sehingga akhir Jan 2023, bilangan warga Palestin yang  di penjarakan  mencecah 4,780, termasuk 29 banduan wanita dan 160 kanak-kanak.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin,  Hussein Al-Sheikh menggesa kerajaan Israel menghentikan gangguan dan langkah-langkah peningkatan terhadap warga Palestin yang dipenjarakan itu  di tengah-tengah keadaan hidup kejam yang bertentangan dengan konvensyen antarabangsa.

Dalam tweetnya , Al-Sheikh telah menyeru badan-badan antarabangsa agar campur tangan segera dalam pertikaian tersebut.

Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh berkata, peningkatan sistematik Israel terhadap tahanan Palestin  yang diketuai oleh ekstremis fasis Ben-Gvir, akan mempunyai kesan yang serius.

Rudeineh menambah bahawa masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  dan Majlis Hak Asasi Manusia,  perlu  segera campur tangan dan menghentikan jenayah ini terhadap warga Israel yang dipenjarakan Israek sebelum terlambat.

Beliau berkata bahawa Presiden Mahmoud Abbas sentiasa berhubung dengan semua pihak antarabangsa yang berkaitan untuk menghentikan serangan Israel terhadap tahanan dan rakyat Palestin.

Tambah Rudeineh, kerajaan ekstremis Israel cuba, melalui peningkatan yang disengajakan ini, untuk menggagalkan semua usaha antarabangsa untuk mengurangkan ketegangan di bumi Palestin.

Satu mesyuarat telah diadakan pada lewat Rabu (22 Mac) antara wakil tahanan dan pentadbiran penjara dalam percubaan terakhir untuk mencapai persetujuan bagi mengelak mogok lapar terbuka dilancarkan mulai hari pertama Ramadan ini, namun  masih tidak jelas sama ada persetujuan telah dicapai. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -