Nasyid yang dirindui, 100% perkusi pergendangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam perkembangan industri muzik di Malaysia, nasyid merupakan  antara genre muzik yang mekar dan berakar umbi dalam masyarakat.

Kesan perkembangan pesat teknologi menjadikan batas dan sempadan dunia semakin pudar. Dunia tidak lagi terpisah malah digelar pula sebagai desa sejagat.

Ini membuka ruang dakwah yang luas; beraneka ragam dan ranggi mewarnai industri muzik tempatan.

Namun dalam kepelbagaian, kebebasan dan kreativiti itu, kini muncul sebuah kumpulan dikenali sebagai ZAWFAN; yang lahir dari kerinduan tiga anggota kumpulan ini terhadap lagu-lagu dakwah yang hanya dihasilkan menggunakan 100 peratus pergendangan, kompang atau alat perkusi gendangan.  

- Advertisement -

Bermatlamat menghidupkan semula nasyid yang mereka rindui, kerana nasyid sememangnya hanya dinyanyikan dengan vokal berharmoni diiringi kompang dan pergendangan sahaja. 

Justeru, ZAWFAN percaya lagu dakwah sebegini tetap dirindui masyarakat; dan ia terbukti di laman media sosial, mereka berjaya menghidupkan sebuah komuniti perindu nasyid yang mempunyai keyakinan yang sama seperti mereka. 

ZAWFAN yakin kerinduan kepada lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid seperti Raihan, Nadamurni dan The Zikr tidak hanya dikongsi dalam komuniti kecil mereka tetapi juga dirasai oleh ramai lagi pendengar secara meluas di luar sana. 

Membesar dengan lagu-lagu nasyid daripada Raihan, Nadamurni dan TheZikr, bagi anggota ZAWFAN, nasyid klasik yang disampaikan sekitar tahun tahun 80-an dan 90-an sangat sederhana, namun ia berjaya dihayati masyarakat. 

Nazrey Johani (kiri) bersama ZAWFAN yang dianggotai Hafiz Tarmizi (atas, tengah), Fadzil Radzi (kanan, tengah) dan Yasir Tarmizi (bawah).

“Tidak sarat, hanya berbekalkan lirik yang jelas dan melodi yang ringkas,nyanyian yang sederhana dengan vokal berharmoni serta iringan kompang dan pergendangan sahaja.

“Namun, ia mampu membawa mesej keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan dan kerohanian dengan penyampaian yang sangat mengesankan masyarakat,” kongsi salah seorang anggota ZAWFAN,  Hafiz Tarmizi.

Muncul dengan Bismillahir Rahmanir Rahim

Kini muncul dengan single kedua berjudul, Bismillahir Rahmanir Rahim, ZAWFAN sebelum ini telah muncul dengan single pertama mereka, Rasul Kita pada 2021.

Seperti juga lagu sebelumnya, ZAWFAN meneruskan susunan muzik yang menggunakan 100 peratus perkusi. 

Kedua-dua lagu dan lirik ditulis oleh Sirr Muhammad dan Hafiz Tamizi. Dari sudut perkusi pergendangan pula, ia adalah hasil dari susunan pemuzik seperti Zufar Adzahan dan Fadzli Radzi. 

Gabungan gubahan dan susunan berserta alunan vokal berharmoni dalam lagu ini pasti mengimbau nostalgia pendengar kepada nasyid di era 90-an. 

Melodi santai, ringkas dan lirik yang jelas serta rangkap chorus yang berulang sememangnya menjadi resepi yang menjadikan lagu ini mudah untuk dinyanyikan setiap lapisan umur masyarakat.

Selepas muncul dengan single pertama pada 2021, ZAFWAN kini muncul dengan single kedua mereka, Bismillahir Rahmanir Rahim.

“Dari sudut pandang muzik, didapati lagu ini mengambil dari pelbagai unsur dan pengaruh antaranya Nusantara, Timur Tengah, Eropah, Asia dan Amerika Latin. 

“Ini bukan sesuatu yang asing dalam nasyid asalnya kerana ciri-ciri muzik Islam yang sejagat sifatnya seharusnya mengambil dan memanfaatkan seluruh tradisi kemanusiaan baik dari Timur mahupun Barat,” kongsi seorang lagi anggota ZAWFAN, Fadzli Radzi.

Seorang lagi anggota ZAWFAN, Yasir Tarmizi pula memberitahu bahawa kolaborasi dirinya selaku  penyanyi utama kumpulan itu dengan  dan bekas penyanyi utama kumpulan Raihan, Nazrey Johani adalah satu gabungan vokal  yang padu dan sangat baik.

“Vokal kedua-dua kami dirasakan saling melengkapi, dengan penyampaian yang sederhana berjaya menggamit pendengar terhadap irama yang asal seperti di awal kemunculan Raihan dahulu,” ungkap Yasir lagi.

Nazrey Johani sudah ada ZAWFAN

Bagi peminat, pendengar dan pemerhati nasyid, sudah sedia maklum hubungan Raihan dan Nazrey Johani setelah beliau meninggalkan kumpulan itu. 

Walaupun rata-rata peminat kecewa, apa yang berlaku bukan lagi rahsia. Menurut Nazrey, keputusan itu dibuat atas sebab keadaan dan tuntutan perjuangan untuk menyebarkan Islam di kampung halamannya. 

Walaupun sudah tidak lagi bersama Raihan, Nazrey mengakui kolaborasi terbaharu bersama dengan ZAWFAN sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan terhadap lagu nasyid.

Apabila dijemput oleh ZAWFAN untuk menjayakan  single Bismillahir Rahmanir Rahim, Nazrey berasa amat berbesar hati. 

Bak kata pepatah, ‘seperti orang mengantuk disorongkan bantal’, menurut Nazrey lagi, sememangnya inilah irama nasyid yang dirindui. 

“Inilah nasyid yang asal, yang pernah berjaya mengangkat hasil karya tempatan ke mata dunia serta mendapat pengiktirafan paling tinggi dalam industri muzik,” ujar Nazrey.

ZAWFAN pula bersetuju dan berpandangan, sebelum munculnya budaya K-POP dari Korea hakikatnya, Malaysia sudah pun terlebih dahulu mengeksport budaya kita keluar dengan nasyid yang dibawakan Raihan.

“Itulah nasyid pada takrifan yang paling asas, persembahan paling murni dan tulen. Kerinduan terhadap nasyid yang dibawa bersama Raihan itu terubat dengan penampilan saya dalam lagu Bismillahir Rahmanir Rahim bersama dengan ZAWFAN,” tuturnya.

Justeru, paduan vokal berharmoni ZAWFAN menggamit kenangan semasa Nazrey bersama-sama Raihan dahulu. 

Walaupun sudah tidak lagi bersama Raihan, akuinya, ZAWFAN sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan itu.

Sempena kemunculan Ramadan pada tahun ini, ZAWFAN telah menyediakan muzik video single terbaharu mereka, Bismillahir Rahmanir Rahim.

Hiburan yang mendidik jiwa

Serentak dengan kemnculan single kedua ZAWFAN itu, sebuah muzik video juga sudah di peringkat suntingan terakhir. 

“Insya-Allah, ia bakal dilancarkan di laman YouTube mereka pada bulan Ramadan ini,” kata Nazrey lagi

Bismillahir Rahmanir Rahim diterbitkan oleh ZAWFAN sendiri dan akan diedarkan secara digital oleh Soofi Media. 

Ia boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify dan Apple Music dan boleh didengari di IKIM.fm, ZAYAN dan radio-radio tempatan yang lain seluruh negara.

Sehubungan itu, ZAWFAN dan Nazrey Johani berharap agar irama nasyid terus mendapat tempat dihati mereka yang benar-benar menginginkan hiburan yang mendidik jiwa. 

“Mudah-mudahan usaha kami ini sedikit sebanyak dapat mengangkat dan menjulang semula irama nasyid yang kini semakin jauh ditinggalkan masyarakat di arus perdana,” kata mereka. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -