Menjawab soalan Anwar mengenai RUU355

- Advertisement -

PERDANA Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 telah bertanya mengenai status RUU355,

“Kamu pegang tampuk kepimpinan kuasa termasuk kerajaan tiga tahun baru-baru ini, mana Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355)?”

https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2174289

Walaupun persoalan itu sengaja ditimbulkan untuk mencipta provokasi, izinkan saya menjawab.

Untuk makluman Dato’ Seri,

Pada tahun 2020, 

Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil telah diberi arahan untuk membuat persiapan ke arah pindaan RUU355 dan telah bermesyuarat beberapa kali walaupun pada waktu pandemik.  

Pada 2021,

Draf RUU355 berjaya dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan seterusnya kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Kali ke-27.

Pada 2022,

Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggubalan RUU355.

Edaran Memorandum Jemaah Menteri kepada 5 agensi (AGC, JKSM, MSWP, JAWI dan JAPENSWP) telah dibuat.

Draf RUU355 juga telah disemak dan diluluskan oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara.

Ketika itu, bacaan pertama RUU355 dijangka untuk dibentangkan pada akhir Oktober dan diluluskan pada bulan November 2022. Namun tidak berlaku kerana Parlimen telah dibubarkan awal.

Dengan kata lain, RUU355 sudah siap dan sedia dibawa ke Parlimen oleh pihak kerajaan untuk dibentang dan juga diluluskan. 

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02TfKMyDY1EMM3ABnzSqxqScPbVBS7cTd3fPJsYhAkfMY4EWqLxKUrsU9syJuVe3BGl&id=100050311487174

Saya yakin Dato’ Seri Anwar selaku Perdana Menteri dan juga bekas Ketua Pembangkang tahu mengenai perkara ini, namun sengaja membuat dakwaan seolah-olah PAS serta kerajaan sebelum ini langsung tidak berbuat apa-apa. 

Jadi bagi mereka yang mempersoal apa usaha PAS sepanjang memegang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri, inilah jawapannya.

Terima kasih juga kepada Kabinet kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri atas komitmen yang diberikan.

Memandangkan kami sudah melakukan tugas kami sepanjang 3 tahun ini, sekarang tibalah masa untuk Perdana Menteri ke-10 (PMX) buktikan bahawa beliau juga peduli mengenai RUU355. Atau terpaksa salahkan PAS kerana ada hati yang perlu dijaga?

RUU355 ini hakikatnya bukan isu politik, entah mengapa sengaja dipolitikkan oleh Perdana Menteri Kerajaan MADANI.

Draf telah siap, bawalah ke Parlimen. Bukan ke Kongres PKR.

NAZIR HELMI
Ketua Penerangan Pemuda PAS  – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -