Majukan pembangunan TVET di Machang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengambil langkah untuk membantu meningkatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam operasi GIATMARA Machang.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, Machang adalah bandar industri di bawah Rancangan Struktur Kelantan dan memerlukan perancangan lebih lanjut untuk pembangunan TVET.

- Advertisement -

“Bagaimana GIATMARA Machang akan mengambil inisiatif yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kelmarin, berkenaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan membantu meningkatkan TVET dalam operasi GIATMARA khususnya di Machang.

“Sebab Machang adalah bandar industri di bawah Rancangan Struktur Kelantan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata usaha berhubung kajian pasaran dan pembangunan bagi GIATMARA dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang dilaksanakan.

“Antara usaha yang sedang dilaksanakan oleh MARA pada masa ini ialah membuat jaringan kerjasama dengan industri bagi memperkukuhkan GIATMARA atau memastikan graduan GIATMARA relevan dalam institusi latihan semasa.

“Bagi membekalkan pekerja mahir bagi industri dan pasaran buruh negara melalui inisiatif program pembangunan berasaskan industri (ICoE) serta job program telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, antara peneraju industri yang terlibat bersama MARA ialah Proton, UMW, Malaysia Automotive Robotics dan IoT Institute (MARii), iaitu Kawasaki, Modenas dan lain-lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -