LGBT masuk secara halus melalui filem

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Filem yang mengandungi unsur Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) perlu diawasi dengan ketat kerana jika dibiarkan akan menyerap masuk secara halus di negara ini.

Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) melahirkan kebimbangan itu kerana dikhuatiri akan mempengaruhi golongan muda.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menambah baik fungsi Lembaga Penapis Filem (LPF) supaya dapat menapis dengan lebih berkesan filem berunsur lucah, amalan songsang dan pelbagai unsur negatif lain.

“Ada pihak cuba membawa unsur songsang dalam masyarakat di negara kita,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Digital di Dewan Rakyat, hari ini.

Isu serupa turut dibangkit Dr Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang mencadangkan kerajaan menubuhkan Lembaga Penapis Filem Digital bagi menapis flem dalam talian.

Menurutnya, ada filem yang disiarkan dalam talian mempunyai kandungan yang melampau dan melanggar sensitiviti agama Islam.

Pada tahun lepas, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan filem blockbuster, Love and Thunder, tidak melepasi garis panduan penapisan LPF.

“Filem itu menyentuh isu LGBT. Kita lihat sekarang ada banyak filem berunsur LGBT yang terlepas penapisan,” kata Zahidi semasa sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Ahmad Yahaya yang ketika itu sebagai senator, bertanya mengenai pendirian kementerian memantau kandungan program yang disiarkan di platform penstriman seperti Netflix. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -