Kesan MV Dai Cat 06 perlu kerjasama Indonesia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 sejak Januari lalu yang hingga kini masih belum ditemui mendapat perhatian Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS mahu tahu sejauh mana kerjasama kerajaan Malaysia dan Indonesia setakat ini bagi mengenal pasti punca kejadian.

- Advertisement -

Beliau berkata, ini berikutan kejadian itu berlaku di perairan Indonesia yang menyebabkan kerjasama negara jiran amat diperlukan.

Loke Siew Fook ketika menjawab berkata, Kementerian Pengangkutan sedang meneliti laporan siasatan berhubung kehilangan MV Dai Cat 06, sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diklasifikasikannya sebagai laporan terbuka.

Katanya, laporan siasatan kapal kargo yang hilang sejak 9 Januari itu, sudah diperoleh daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi penelitian peringkat kementerian.

Menurutnya, negarta tidak pernah mengabaikan operasi mencari dan menyelamat (SAR), malah pihak berkuasa sudah menghubungi Indonesia bagi kerjasama dalam aspek berkenaan berikutan kapal itu hilang di perairan negara terbabit.

“Dari segi operasi SAR, ia berada di bawah pihak berkuasa Indonesia, sudah tentu Wisma Putra ada berhubung dengan negara itu.

“Operasi SAR adalah di bawah bidang kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), namun JLM sedia bekerjasama untuk memastikan operasi SAR diteruskan.

“Kita tidak pernah menyatakan kita mengabaikan operasi SAR dan mengarahkan JLM memantau serius serta memastikan misi mencari kapal ini diteruskan,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh yang diadakan itu, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan melaksanakan tindakan wajar berdasarkan penemuan jawatankuasa siasatan.

Katanya, sebelum ini, JLM sudah menubuhkan jawatankuasa siasatan pada 20 Januari lalu dengan tumpuan siasatan menjurus kepada keselamatan pelayaran dan keselamatan kapal; pengumpulan fakta, mengemukakan penemuan serta cadangan tindakan seperti kompaun. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -