Kebebasan bersuara era PH-BN makin terkongkong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugur) menyuarakan kebimbangan kebebasan bersuara di bawah kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang semakin terkongkong apabila hak rakyat untuk menyatakan sesuatu cuba disekat.

Beliau berkata, ada aktivis yang memperjuangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar tidak mendapat kerjasama media milik kerajaan bagi menyiarkan kenyataannya.

- Advertisement -

“Saya bimbang kongkongan kerajaan sekarang terhadap kebebesan rakyat bersuara,” katanya ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Digital di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Saiful berbeza pendapat dengan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang sebelum itu melabelkan RTM sebagai ketinggalan zaman.

Menurutnya, RTM telah melaksanakan tugas sebaik mungkin dan tidak ketinggalan zaman seperti digambarkan Ahli Parlimen PH.

Beliau juga mengimbaukan kejayaan kerajaan sebelum ini mengangkat persembahan nasyid dengan menganjurkan anugerah khas.

“Saya sarankan kerajaan memberi peruntukan untuk membolehkan anugerah nasyid antarabangsa dianjur bagi memartabatkan industri tersebut ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) berkata, Malaysia kehilangan lima bulan pembangunan infrastruktur 5G memandangkan kerajaan baharu hendak menyediakan kertas kabinet pada akhir Mac ini.

Katanya, sehingga sekarang kerajaan belum menyediakan data yang lengkap berkaitan perkembangan 5G di negara ini, biarpun sudah lama diuar-uarkan. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -