Kaji semula pengambilan pelajar perubatan di universiti

Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah bijak untuk menangani masalah peletakan jawatan pegawai-pegawai perubatan, pakar atau kontrak yang bernaung di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata demikian susulan laporan daripada Timbalan Menteri Kesihatan, Senator Lukanisman Awang Sauni selepas laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan seramai 6,036 pegawai perubatan dan 890 pakar perubatan di bawah KKM telah meletak jawatan dari tahun 2018 hingga 2022.  

- Advertisement -

Menurutnya, pihak kerajaan perlu mengambil langkah yang padu bagi jangkamasa panjang untuk mengurangkan perletakan jawatan dalam kalangan para pegawai  perubatan, pakar atau doktor kontrak.

“Dalam jawapan sesi soal jawab di Dewan Rakyat baru-baru ini, Lukanisman telah menyatakan sebab-sebab utama perletakan jawatan oleh mereka ini disebabkan ingin berkhidmat dalam sektor swasta dan badan berkanun, atas sebab peribadi, menerima tawaran menjadi pensyarah di institusi pengajian awam dan swasta, melanjutkan pelajaran, masalah kesihatan, berhijrah ke luar negara serta membuka klinik atau farmasi sendiri.

“Selain itu, antara alasan peribadi yang yang menyebabkan sebahagian pakar dan pegawai perubatan KKM meletakkan jawatan mereka berpunca daripada tekanan kerja, masalah kesihatan mental dan buli oleh pihak senior,” jelas beliau.

Oleh itu, bagi menangani masalah ini berterusan Wan Martina menyarankan agar Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu ditubuhkan supaya pihak kementerian dapat menguruskan sendiri soal perjawatan dalam kesihatan.

Sehubungan itu, katanya lagi, bajet kepada agensi kesihatan perlu dipertingkatkan  seperti yang telah disyorkan oleh World Health Organization (WHO) iaitu sebanyak lima hingga tujuh peratus dari Keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Beliau yakin, sekiranya pihak kerajaan menyediakan bajet secukupnya maka isu perletakan jawatan dalam kalangan pegawai perubatan, pakar dan doctor kontrak di bawah KKM akan dapat dikurangkan. 

Selain itu, katanya lagi pihak kerajaan juga perlu mengkaji semula kaedah pengambilan pelajar-pelajar dalam bidang perubatan atau sains kesihatan. 

“Jumlah pelajar yang diambil dalam bidang ini perlulah mengikut keperluan negara dengan mengambil kira keperluan pada masa hadapan,” ujar beliau kepada HarakahDaily.

Wan Martina turut berpendapat, universiti-universiti swasta yang tidak menunjukkan prestasi yang baik seharusnya tidak dibenarkan dari mengambil kemasukan pelajar perubatan atau mungkin pada suatu masa perlu ditutup. 

“Kita juga sedia maklum bahawa, graduan perubatan terdiri daripada pelajar-pelajar cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM)/ Matrikulasi atau asasi perubatan,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa amatlah rugi pelajar-pelajar cemerlang  tersebut meninggalkan kerajaan dan memilih hala tuju sendiri. 

“Secara tidak langsung, negara kita akan kekurangan tenaga pakar yang bijak dalam bidang perubatan.

“Justeru, sudah tiba masanya pihak kerajaan perlu menyediakan inisiatif-inisiatif yang menarik para pegawai perubatan, pakar dan doktor kontrak untuk terus memberi khidmat di sektor awam,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -