Jangan lupa matlamat asal Sekolah Berasrama Penuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengingatkan kerajaan supaya kembali kepada matlamat asal penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Walaupun bersetuju dengan cadangan penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar, katanya matlamat SBP ialah untuk membantu anak luar bandar.

- Advertisement -

“Pada zaman saya, mereka yang mendapat keputusan 3A 2B dalam Sijil Penilaian Darjah Lima layak masuk ke SBP. Akhirnya, lahirlah profesor, pakar, saintis di sektor kerajaan dan swasta,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, katanya penubuhan MRSM berbayar, seolah-olah kerajaan telah terkeluar dari konsep SBP yang sebenar walaupun penubuhan MRSM berbayar atas Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), tetapi dari segi gaji dan perbelanjaan sudah tentu akan memerlukan peruntukan kerajaan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penubuhan Sekolah Agama Imtiaz Ulul Albab tanpa sebarang peruntukan kerajaan boleh dijadikan model ikutan.

“Atas pengalaman peribadi, saya membina Sekolah Agama Imtiaz Ulul Albab tanpa sesen pun peruntukan daripada kerajaan dan sudah beroperasi selama 11 tahun.

“Sekolah swasta yang saya sudah lakukan, inilah yang kita akan lakukan dengan MRSM. Jangan khuatir, pelaksanaannya kita akan pastikan tiada kompromi dari segi kualiti,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -