Helah parti politik lindungi kepentingan golongan liberal

Ajaran Islam pula diprovokasi dan dikenakan sekatan

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Golongan liberal semakin berani menaja dakyah agama dan ideologi ekstrem, termasuk acara tidak bermoral dan songsang seperti LGBTQ secara terbuka dan bebas.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, keadaan itu berlaku disebabkan golongan tersebut sedang dilindungi oleh kepentingan politik tertentu.

Tegas beliau, hakikatnya golongan itulah melakukan provokasi berbaur sentimen hasutan perkauman dan agama melampau yang menggugat dan mengancam perpaduan rakyat Malaysia.

“Itu nilai politik kotor dan jahat mereka cuba doktrin tanamkan dalam minda dan kepercayaan serta perlakuan masyarakat negara kita. Dalam masa sama mereka runtuhkan nilai politik yang bersih dan sejahtera berasaskan iman dan takwa.

“Iaitu dengan menyekat dan menghalang politik di tempat-tempat yang baik dan soleh. Mereka mendesak politik mesti dipisahkan daripada agama. Larangan itu sebenarnya satu helah,” bongkar beliau.

Bidas Razman, golongan tersebut menterbalik, merungkai dan memudaratkan segala perpaduan, penghormatan, martabat dan jaminan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, mereka menggunakan kuasa jawatan dan kedudukan yang ada termasuk mempengaruhi pihak penguat kuasa untuk bertindak bagi memenuhi motif politik dan kepentingan tertentu.

“Sampaikan khutbah Jumaat di masjid untuk mendukung kemakmuran negeri menerusi pembangunan dirancang dan aktiviti ekonomi pun mereka bantah. Sedangkan usaha itu untuk kebaikan rakyat dan masa depan negeri.

“Tetapi himpunan awam yang dicemari promosi LGBTQ, termasuk terkini dalam Ramadan ini mahu dilangsungkan pesta ‘jantan dengan jantan’ songsang dan perasmian bar di Kuala Lumpur, mereka tidak bantah.

“Ini menunjukkan golongan tersebut semakin berani mempromosikan secara terbuka dan bebas, seolah-olah ada ‘pelindung’ terhadap kegiatan, aktiviti dan motif golongan tersebut.

“Kita tak tahu arah tuju politik mereka nak bawa ke mana? Tapi nampaknya macam ‘menjaga’ kepentingan golongan liberal, sebaliknya kepentingan agama disekat. Ini tindakan yang salah,” kecam beliau.

Beliau yakin rakyat Malaysia terutama orang Melayu-Islam begitu sedar dan celik dengan perkembangan tersebut serta bertekad menyelamat negara ini daripada dirosakkan golongan tersebut. –  HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -