Gandingan regu lama berjaya runtuh empayar BN

- Advertisement -

POLITIK negara kita nampaknya tidak dapat lari daripada pertembungan dua musuh tradisi. Lebih menarik lagi ada ketika berkawan, di ketika lain bermusuh.

- Advertisement -

Sejarah itu masih lagi bersisa sehingga sekarang. Prasyaratnya selagi kedua-dua tokoh tersebut masih berada di gelanggang sama. Bertembung dan bersahabat boleh berulang-ulang.

Tempohnya begitu lama. Begitu juga ketika era persahabatan mereka agak panjang. Bahasa mudah orang kampung sebut musuh dalam selimut.

Berada di bawah satu selimut, tetapi mimpi berbeza-beza. Anwar Ibrahim dibawa menyertai Umno pada 1982. Orang yang terlibat mengundang Anwar disebut Tengku Razaleigh.

Kemuncak era persahatan Anwar-Tun Mahathir apabila bekas Presiden Abim itu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993.

Dr Mahathir berada di luar negara selama dua bulan untuk lawatan rasmi dan kerja. Ia bermula 19 Mei 1997. Dalam tempoh itu Anwar memangku jawatan Perdana Menteri.

Namun, panas tidak sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Pada 1998 berlaku krisis kedua-dua tokoh terbabit. Pada 1999 Anwar disabit kesalahan rasuah dan liwat. Bermula dari situ sekali lagi Anwar bertengek di pentas PAS.

Ustaz Fadzil Noor tampil membela nasib malang Anwar. Bermula dari situ muncul NGO GERAK sebagai pentas Anwar bagi mengumpul sokongan rakyat.

Ke hulu ke hilir penyokong PAS di seluruh negara menjadi penggerak utama menjulang reformasi. Tanpa mereka reformasi tidak mampu menjadi gelombang.

Dan selepas Anwar dibebaskan pada 2004, sekali lagi beliau menghadapi tuduhan liwat. Di era pentadbiran Najib Razak, Anwar dipenjarakan atas tuduhan liwat pada 2015.

Bagaimanapun Umno mulai menuju ke era suram pada 2016 setelah Dr Mahathir mengumum keluar daripada parti itu. Beliau mulai menjarakkan diri daripada Umno selepas skandal rasuah membelit Najib.

Tun mewujudkan Bersatu sebagai parti baharu untuk berdepan dengan Umno. Dan ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 Tun bergabung sekali lagi dengan Anwar melalui Pakatan Harapan (PH).

Hasil gandingan regu lama tersebut akhirnya berjaya meruntuhkan kerajaan empayar BN yang diterajui Umno sejak era kemerdekaan.

Menurut laporan media seminggu selepas PH menerajui kerajaan, Anwar diusahakan Tun bagi mendapat pengampunan diraja dan dibebaskan.

Namun, sekarang Anwar berada di atas dan Tun pula terperap di bawah. Anwar akhirnya berjaya menduduki kerusi perdana menteri selepas sekian lama mengimpikannya.

Tiba-tiba baru-baru ini Tun pula meluahkan terkilan terhadap perdana menteri. Usaha menganjurkan Proklamasi Melayu dibatalkan katanya kerana ada tangan ghaib.

Menurut laporan media pada peringkat awal program itu dirancang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, namun dipindah ke lokasi lain kerana masalah tertentu.

Lokasi kedua di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara, namun pengurusan dewan dilapor membatalkan tempahan. Antara lain kerana kehadiran Tun.

Kemudian lokasi ketiga dicadangkan di Pusat Konvensyen Ideal Selayang. Malangnya dibatal juga oleh pengurusan tempat terbabit.

“Saya tidak pernah cakap apa-apa terhadap beliau, tetapi beliaulah yang bercakap. Jadi saya pasti beliau adalah orang yang bertanggungjawab di sebalik usaha menutup mulut orang yang mahu bercakap benar,” kata Tun pada sidang media di Pejabat Putra Ahad lepas.

Menurut Tun juga kerajaan menetapkan orang ramai tidak bercakap tentang kaum dan agama. Tun dilapor mengulangi dakwaan bahawa kerajaan di sebalik beberapa pembatalan lokasi penganjuran Proklamasi Orang Melayu.

Nah, gelanggang politik ‘dua sahabat, dua musuh’ dibuka kembali. Perseteruan epik klasik politik muncul lagi.

Suhu politik negara nampaknya kembali hangat. Medan sudah dialih daripada Muhyiddin Yassin kepada Tun pula.

Tidak dapat dinafikan banyak isu boleh dihala terhadap Tun. Kisah lama sedia untuk diputar kembali. Ia senjata dalam pertembungan dalam mana-mana epik klasik.

Rantaian ke arah itu dilihat bermula selepas Tun berminat cuba berpaut di dahan Perikatan Nasional (PN). Apa pun ramai masih ingat jasa Tun menumbangkan kerajaan ‘purba’ BN.

Tun dipercayai masih ada sisa pengaruh. Tun nampak terkial-kial membuat penampilan ketiga. Biarpun nampak sukar, namun kelibat Tun tidak boleh dipandang enteng. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -