Bantuan kewangan haji RM500 juta pada 2024

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah bantuan kewangan haji dijangka meningkat kepada hampir RM500 juta pada 2024 jika bayaran bagi tujuan ibadah itu tidak disemak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata keadaan itu sekali gus akan memberi kesan kepada Tabung Haji (TH) dalam aspek agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya.

- Advertisement -

Katanya, TH menjangka jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat dari RM185 juta pada 2022 kepada RM400 juta pada 2023.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat hampir kepada RM500 juta pada 2024 sekiranya bayaran haji tidak disemak dan ini akan memberi kesan kepada TH yang perlu memberikan agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) di Dewan Rakyat, hari ini. Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat meminta Perdana Menteri menyatakan asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.

Datuk Ahmad Yahaya

Mohd Nai’im berkata, TH berdepan pelbagai cabaran dalam pengurusan haji, termasuk kenaikan kos menunaikan ibadat haji yang di luar kawalan TH yang memberi kesan terhadap kemampanan kewangan institusi itu serta cabaran untuk mengekalkan tahap perkhidmatan yang terbaik.

Bagi musim haji 1444 Hijrah, katanya kos haji adalah RM30,850 untuk setiap jemaah Muassasah Malaysia, iaitu peningkatan 8 peratus berbanding RM28,632 tahun lepas (1443 Hijrah).

Mulai 2001, katanya TH membiayai sebahagian daripada Kos Haji untuk jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama dan bantuan kewangan ini dikenali sebagai ‘Bantuan Kewangan Haji’ atau Hajj Financial Support (HAFIS).

“Bantuan ini dibiayai sepenuhnya oleh TH melalui pendapatan pelaburannya. Sejak 2001 sehingga 2022, sebanyak RM2.2 bilion telah dibelanjakan bagi Bantuan Kewangan Haji.

“TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama dan kurang pendapatan untuk meringankan bebanan kewangan mereka,” katanya.

Walaupun boleh menerima Bantuan Kewangan Haji, katanya bakal haji Kumpulan B40 dan M40 diberi peluang untuk secara sukarela membayar lebih daripada kadar yang ditetapkan, walaupun mungkin tidak dapat membayar sepenuhnya kos haji. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -