Banjir: JPS laksana 29 kerja kecil di Perak Tengah pada 2022

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil perhatian serius berkenaan masalah hakisan tebing di sepanjang jajaran Sungai Perak di daerah Perak Tengah.

- Advertisement -

Menurut kementerian, JPS akan melaksanakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Perak Fasa 1 di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dengan kos berjumlah RM28.69 juta.

“Projek ini meliputi kerja-kerja pembaikan tebing di 26 cadangan lokasi hakisan tebing sepanjang 6 km,” ujar kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Ismi Mat Taib [PN-Parit] di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, projek itu di peringkat perlantikan perunding untuk rekabentuk terperinci dan dijangka tender pada Julai 2024 dan anggaran tempoh pelaksanaan projek selama dua tahun.

Menurutnya lagi, bagi mengurangkan risiko banjir, JPS telah melaksanakan 29 kerja-kerja kecil di Daerah Perak Tengah berjumlah RM1.75 juta pada 2022.

Jelasnya, ia melibatkan seperti berikut projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir berjumlah RM1.20 juta yang melibatkan 7 projek kerja-kerja kecil dan kerja-kerja bagi peruntukan Pengurusan dan Pemuliharaan Sungai-Sungai di Negeri Perak berjumlah RM550,000 melibatkan 22 projek kerja-kerja kecil.

Muhammad Ismi dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian berkenaan sepanjang jajaran Sungai Perak di dalam daerah Perak Tengah yang menghadapi masalah hakisan tebing. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -