Apa keperluan lantik JPKKP?

Nurul Amin Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan apakah keperluan melantik Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di negeri-negeri yang bukan ditadbir oleh parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid bertanya perkara itu kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang mengemukakan soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini sebagaimana di bawah.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada Kerajaan mempunyai perancangan untuk membina parking bertingkat di seluruh hospital Kerajaan bagi menyelesaikan isu kekurangan tempat letak kereta yang kritikal di kawasan tersebut.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan apakah rancangan Kerajaan bagi pembangunan kawasan pos Orang Asli dan kampung- kampung tradisional di pedalaman Kelantan Selatan dari segi infrastruktur awam terutamanya jalan berturap dalam jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi menjaga kebajikan masyarakat di penempatan tersebut.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah perancangan yang dilakukan dalam usaha mencari bakat-bakat baharu sukan bagi permainan yang popular (contohnya badminton, bola sepak dan lain-lain) sebagai pelapis untuk kemajuan sukan di Malaysia.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Kesihatan menyatakan tindakan kawalan dan pencegahan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar di sekolah menengah dan peringkat institut pengajian tinggi.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan sama ada GIATMARA ada perancangan untuk membina sebuah kemudahan lengkap di sebuah premis kekal untuk GIATMARA Machang beroperasi memandangkan Menteri telah memberi komitmen untuk melaksanakan TVET berimpak tinggi secara besar-besaran.

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan bila peruntukan khas dan segera memperbaiki infrastruktur sukan seperti gelanggang futsal yang tidak pernah diperbaiki sejak siap dibina di kampung-kampung. Kerosakan ini jika tidak segera diperbaiki boleh mengundang bahaya kecederaan kepada penggunanya ataupun menjadi tempat pembiakan nyamuk dan serangga bahaya lain termasuk anjing liar dan lain-lain.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan perancangan jangka pendek dan jangka panjang Kementerian untuk membina struktur pengawalan hakisan pantai di kawasan Parlimen P.025 Bachok yang bagi mengatasi permasalahan hakisan yang semakin teruk setiap kali musim tengkujuh seterusnya menjejaskan aktiviti nelayan dan penempatan penduduk.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan:

(a) statistik terkini bilangan belia di Perlis mengikut Parlimen; dan

(b) apakah Kementerian berhasrat untuk melibat urus secara berterusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemimpin tempatan bagi membina lebih banyak mini kompleks sukan awam atau One Stop Centre bagi golongan belia berkumpul khususnya di Arau berdasarkan Pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak Kerajaan dalam menangani masalah ketidaksepadanan pekerjaan untuk siswazah selain memastikan peluang pekerjaan dikawal selia serta dibuka untuk semua golongan yang mencari pekerjaan.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah ada perancangan pembinaan sebuah stadium mini berkapasiti 20,000 orang untuk rakyat Dungun kerana Dungun merupakan satu-satunya daerah yang masih belum mempunyai stadium mini walaupun Dungun telah melahirkan atlet bola sepak negeri dan negara seperti arwah Ariffin Osman (Terengganu), Muhammad Safawi Rasid (Malaysia), Alif Mat Amin (Pahang Rangers) dan Amar Makruf Sharuddin (AD Alcorcon Sepanyol).

Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan apakah keperluan melantik Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di negeri-negeri yang bukan ditadbir oleh parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian berkenaan sepanjang jajaran Sungai Perak di dalam daerah Perak Tengah yang menghadapi masalah hakisan tebing.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Kesihatan menyatakan:

(a) adakah terdapat langkah untuk menaik taraf Hospital Kepala Batas kepada Hospital Berpakar Penuh berbanding nisbah penduduk di Kepala Batas terkini; dan

(b) adakah pihak Kementerian bersetuju untuk menambah bilangan penjawat, wad dan lain-lain kemudahan Hospital Kepala Batas.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Sumber Asli,  Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan status kemajuan projek pembinaan pam air bagi mengatasi masalah banjir di Kuala Sepetang dan status permohonan kelulusan RM70 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Larut Fasa 2, Parlimen Bukit Gantang yang terletak dalam Daerah Larut Matang dan Selama.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh manakah Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 berjaya membentuk rakyat agar mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang seterusnya mengubah gaya hidup masyarakat menjadi aktif dan sihat.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Kesihatan menyatakan:

(a) apakah yang diambil oleh Kementerian bagi menyelesaikan isu doktor pelatih bekerja berterusan sehingga melebihi 24 jam; dan

(b) apakah langkah Kerajaan dalam membawa pulang siswazah perubatan yang bekerja di luar negara selepas menamatkan pengajian di negara tersebut.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah Kerajaan di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berhasrat menambah projek perumahan rakyat mampu milik terutama di kawasan luar atau separa bandar seperti di Bagan Serai.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Kesihatan menyatakan sehingga kini sejauh manakah tindakan Kementerian dalam usaha menyegerakan pelaksanaan pembinaan Hospital Maran yang telah diluluskan sejak RMK-11 lagi.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Menteri Sumber Asli, Alam  Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan bilakah benteng pemecah/penahan ombak kekal di pantai Sungai Kajang dapat dilaksanakan. Difahamkan bajet sebesar RM12 juta telah diperuntukkan sejak 2019. Keadaan sangat merbahaya kepada 233 orang keluarga di Kg. Baru Lembah Pantai yang diancam banjir akibat benteng yang pecah berulang-ulang.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan sejauh manakah komitmen Kementerian dalam memastikan kelestarian biodiversiti marin di Taman Laut terpelihara daripada sebarang pencemaran dan kepupusan habitat yang akan merugikan negara.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan pelan tindakan dalam meningkatkan kebolehpasaran pelajar tahfiz melalui Program TVET Tahfiz.

Waktu Pertanyaan Menteri

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Perdana Menteri menyatakan asas pertimbangan Kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -