5,519 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,519 kes dilaporkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) antara 2018 hingga Januari tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 4,713 kes atau 85.4 peratus telah diselesaikan.

- Advertisement -

Katanya, sebanyak 3,060 kes atau 55.4 peratus pula dituduh di mahkamah dan kerajaan sentiasa komited dalam membanteras kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Secara am, penggubalan Akta 792 adalah suatu langkah yang sangat baik dalam membantu polis untuk menjalankan siasatan dan pihak pendakwaan dalam merangka pertuduhan yang khusus di bawah Akta 792, berbanding dengan undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang berkaitan.

“Ini kerana sering kali kes kesalahan seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak ini akan mempunyai ciri-ciri kes yang unik, yang tiada di dalam kes-kes melibatkan orang dewasa,” katanya menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina berkata, peruntukan di dalam Akta 792 dapat memberikan perlindungan yang lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak.

Menurutnya, kerajaan juga sedang dalam proses membuat beberapa pindaan terhadap Akta 792 bagi menambah baik peruntukan sedia ada.

Selain itu, katanya akan meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) bagi memperuntukkan pendengaran khas sebagai suatu lagi mekanisme dengan keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu menghadiri perbicaraan. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -