164 kemudahan sukan dinaik taraf pada 2022

Kalam Salan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sememangnya sedang melaksanakan projek menaik taraf infrastruktur sukan seperti gelanggang futsal di seluruh negara secara berperingkat.

- Advertisement -

Sehubungan itu, KBS mempertimbangkan untuk memperbaiki infrastruktur gelanggang yang melibatkan kerosakan kecil sahaja disebabkan peruntukan yang terhad.

Menurut KBS, pada 2022, sebanyak 164 kemudahan sukan telah dinaik taraf dengan kos sebanyak RM12.917 juta.

“Ahli Yang Berhormat boleh mengemukakan permohonan memperbaiki gelanggang futsal khususnya melibatkan kawasan Yang Berhormat kepada Kementerian ini melalui Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sabak Bernam untuk dipertimbangkan,” ujar KBS dalam jawapan bertulis kepada soalan Kalam Salan [PN-Sabak Bernam] di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalannya, Kalam meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan bila peruntukan khas dan segera memperbaiki infrastruktur sukan seperti gelanggang futsal yang tidak pernah diperbaiki sejak siap dibina di kampung-kampung.

Katanya, kerosakan itu jika tidak segera diperbaiki boleh mengundang bahaya kecederaan kepada penggunanya ataupun menjadi tempat pembiakan nyamuk dan serangga bahaya lain termasuk anjing liar dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -