Wajibkan kereta dilengkapi kerusi Isofix

Ahmad Fadhli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta agar mewajibkan pengeluaran kereta sama ada import mahupun tempatan mempunyai fungsi untuk meletakkan kerusi keselamatan kanak-kanak jenis Isofix di bahagian belakang kenderaan.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, jika kerajaan tidak mewajibkan kerusi jenis Isofix itu,  sudah tentu besi (kaki penahan atau penambat) tidak disediakan pada mana-mana kenderaan. 

- Advertisement -

“Kalau kita tak wajibkan (kerusi jenis Isofix), besi ini tidak disediakan menyebabkan kita yang nak bawa anak-anak nak letakkan car seat (kerusi keselamatan kanak-kanak) akan ada masalah nanti.

“Jadi, boleh kita pergi kepada satu peringkat berikutnya iaitu kita wajibkan semua pengeluar kereta dan Isofix yang nak disediakan itu hendaklah yang sesuai.

“Sebab kadang-kadang ada yang dibuat sambil lewa diletakkan di sebelah dalam sehingga tidak membolehkan car seat dapat diletakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pernah mengumumkan bahawa kerajaan akan mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak pada tahun 2018.

“Maka, kalaulah isu polisi ini nak dinaikkan semula, saya minta supaya mana-mana kereta yang akan dikeluarkan di Malaysia sama ada import ataupun kereta yang buatan  Malaysia diwajibkan perlu ada Isofix untuk membolehkan ita letakkan car seat untuk keselamatan kanak-kanak,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -