Tidak berhasrat meluaskan mySalam di klinik swasta

Dr Siti Mastura Muhammad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan Skim mySalam di klinik kesihatan swasta dengan mengambil kira keperluan penilaian, verifikasi dan pengesahan doktor pakar pada setiap kali proses permohonan Skim mySalam.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), pendekatan itu juga bagi memudahkan kawalan ke atas pelaksanaan mySalam oleh pengendali program, selain dana Skim mySalam dapat digunakan sepenuhnya untuk manfaat kumpulan B40 berbanding menampung kos tambahan untuk pembayaran perkhidmatan di klinik kesihatan swasta.

Katanya, pada awal pelaksanaan Skim mySalam pada tahun 2019, dianggarkan lebih 6,000 orang telah menerima manfaat mySalam dengan jumlah tuntutan dibayar adalah lebih RM11.5 juta.

Walau bagaimanapun, ujar MOF jumlah penerima Skim mySalam terus meningkat setiap tahun selaras dengan peluasan pelaksanaan Skim mySalam termasuk peningkatan had umur kepada 65 tahun dan jumlah pendapatan kasar bulanan daripada RM4,000 kepada RM5,000.

Berikutan itu, jumlah keseluruhan penerima Skim mySalam sehingga 31 Januari 2023 adalah lebih 1.1 juta orang dengan jumlah tuntutan dibayar adalah lebih RM747.7 juta.

“Jumlah bayaran tersebut melibatkan tuntutan ke atas manfaat hospitalisasi, penyakit kritikal, berkaitan PUI Covid-19 dan kos peranti perubatan,” ujar MOF dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Siti Mastura Muhammad [PN-Kepala Batas] di Dewan Rakyat, semalam.

Siti Mastura dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah penerima bantuan skim MySalam sehingga kini dan adakah perancangan kementerian untuk menambah baik manfaat skim itu supaya perkhidmatan boleh diguna pakai di klinik kesihatan swasta.

Menurut MOF lagi, berdasarkan syarat kelayakan semasa skim mySalam, setiap pemohon perlu mengemukakan maklumat dokumentasi lengkap seperti laporan perubatan serta nota kemasukan dan discaj yang dikeluarkan hospital kerajaan, hospital universiti atau hospital tentera yang disenaraikan sebelum sebarang tuntutan permohonan dapat dipertimbangkan. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -