Ramadan tetamu istimewa yang dirindui mukmin

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.

(al-Baqarah: 183)

Berbaki sehari sahaja lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak 1444 Hijrah. Bulan yang penuh dengan kasih sayang, pengampunan dan keberkatan daripada Allah S.W.T. Bulan pembebasan daripada neraka Allah S.W.T. Bulan dibukakan pintu-pintu syurga dan dikunci pintu-pintu neraka. Bulan dirantainya syaitan daripada terus menggoda manusia.

Para Salafussoleh dari kalangan Sahabat Rasulullah S.A.W, Tabi’in serta yang mengikuti mereka itu akan merindui bulan Ramadan seumpama seorang yang sedang menanti kedatangan kekasih yang sudah lama tidak ditemui. 

Segala persediaan dan keperluan akan dilengkapkan lebih awal untuk menyambut kekasih hati yang datang. Kekasih itu adalah bulan Ramadan Al-Mubarak. Maka persediaan dari segi rohaniah dan jasmaniah adalah amat diperlukan kerana kedatangan kekasih bulan Ramadan ini  bertempoh dengan membawa seribu satu kelebihan dan kebaikan.

Persediaan rohaniah seperti kefahaman yang sebenar mengenai ibadah puasa, kesucian hati dengan taubat nasuha dan kesungguhan melaksanakan perintah Allah S.W.T dengan mengawal hawa nafsu dan kehendak. Persediaan jasmaniah pula seperti latihan menjaga pemakanan dan ketahanan fizikal dalam mengatasi ujian berpuasa.

Sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. 

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T, nescaya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu”.

(Riwayat Al-Bukhari)

Puasa yang dilakukan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah S.W.T dengan mematuhi segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Menjaga hati daripada bisikan dan memikirkan perkara yang tidak baik, menjaga lidah daripada perkataan yang tidak dibenarkan oleh syarak dan menjaga seluruh anggota badan secara zahir dan batin daripada perkara keji dan mungkar, bukan hanya sekadar tidak makan dan tidak minum sahaja.

Begitu juga rezeki yang digunakan untuk berbuka hendaklah dipastikan daripada sumber yang halal, menjadi prasyarat untuk mendapatkan puasa yang terbaik di sisi Allah S.W.T.

Justeru dengan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak ini marilah kita bermuhasabah diri dengan menyemak persediaan dan amalan masing-masing, menjaga hati dan tindakan agar sentiasa menepati kehendak dan Maqasid Syariat Allah S.W.T.

Semoga tarbiyah Ramadan yang dilalui nanti bakal menyuburkan iman dan amal soleh kita, membangkitkan semangat untuk terus beramal, memupuk kesedaran cintakan kepada agama Allah S.W.T dan bencikan kemungkaran. Puasa yang dapat membangkitkan semangat jihad untuk menegakkan Agama Allah S.W.T dan membela kesuciannya. Puasa yang dapat memperkukuhkan kesatuan hati umat Islam dan masyarakat seluruhnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -