Perutusan Khas Ramadan Menteri Besar Kelantan

- Advertisement -

‎بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

- Advertisement -

‎الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَ الْمُرْسَلِيْنَ  وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

Firman Allah S.W.T:

‎يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(al-Baqarah: 183) 

Kedatangan madrasah Ramadan setiap tahun adalah untuk membersihkan rohani manusia serta mendidik nafsu supaya menjadi manusia yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Bulan Ramadan adalah sebaik-baik bulan kerana padanya diturunkan al-Quran. Dan Lailatul Qadar adalah sebaik-baik malam melebihi seribu bulan. Firman Allah S.W.T:

‎شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(al- Baqarah: 185)

Kerajaan Negeri bersyukur kerana pada tahun ini dapat menghidupkan dan mengekalkan suasana Ramadan di Negeri Kelantan dengan adanya Madinah Ramadan. Hasrat mewujudkan Madinah Ramadan adalah supaya simbol dan syiar membesarkan Islam dan manifestasi usaha memuliakan al-Quran sama ada menerusi acara tilawah, tadarus dan tadabbur.

Jadikanlah Ramadan kali ini juga sebagai peluang terbaik untuk mendidik diri dengan semangat persaudaraan Islam dalam membentuk Perpaduan Ummah, menerbitkan perasaan kasih sayang dan timbang rasa kepada mereka yang memerlukan menerusi infaq dan sedekah serta merapatkan lagi jalinan silaturrahim semasa ahli masyarakat. Hiasilah diri dengan akhlak terpuji dari segi perbuatan, percakapan dan elakkan daripada pembaziran. 

Moga-moga pada penghujung Ramadan nanti diisi dengan amal ibadah, amal kebajikan dan amal taqwa. Hayatilah sabda Rasulullah S.A.W:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang mendirikan qiam Ramadan (Tarawih dan solat sunat yang lain) kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

(Bukhari dan Muslim)

Marilah kita bermuhasabah, berusaha dan beribadah serta berdoa, semoga di bulan yang mubarak ini segala amalan dan ibadah yang dilaksanakan akan dapat mengembalikan kita kepada fitrah, bersih daripada dosa dan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T.

Akhir kalam, saya mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh rakyat Kelantan di manapun mereka berada. Kita tumpukan peningkatan amal ibadah masing-masing dan berganding-bahu dalam agenda membangunkan masyarakat sejahtera serta bertaqwa:

‎اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

“Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadah pada bulan itu)”.

Semoga Allah S.W.T memberkati Kerajaan Negeri Kelantan dalam mendasari Merakyat Membangun Bersama Islam. 

Ramadan Karim.

DATO’ BENTARA KANAN

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
01 Ramadan 1444H –  – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -