Perlembagaan versi Bahasa Melayu ganti teks Inggeris

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan adakah kerajaan akan melaksanakan cadangan Peguam Negara agar edisi Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu menjadi versi rasmi menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris.

- Advertisement -

Demikian soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan [PN-Kota Bharu] pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang mengemukakan soalan pada sesi itu hari ini sebagaimana di bawah.

Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Mohd. Yassin [Pagoh] minta Menteri Ekonomi menyatakan strategi dan langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan untuk mempercepat pemulihan ekonomi negara khususnya bagi memenuhi keperluan kumpulan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah terdapat perancangan untuk penambahbaikan kadar pemberian pencen hilang upaya yang ketika ini diberikan pada anggota yang hilang upaya dari darjah 20% hingga 100% anggota badan.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang telah dilancarkan pada tahun lepas, bagaimana perancangan Kerajaan agar pelaksanaan dasar ini dapat memperkukuh ekosistem bioteknologi sedia ada bagi menyelesaikan cabaran negara seperti sekuriti makanan.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sejauh manakah Kementerian bersetuju menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan di institusi pengajian tinggi terutama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Perdana Menteri menyatakan apakah faktor utama berlaku gejala murtad dan apakah tindakan JAKIM bagi membendung gejala murtad ini.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pertahanan menyatakan berapa peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan bagi program pembinaan rumah baharu dan juga program pembaikan rumah untuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari kelompok B40 bagi tahun 2023.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apakah komitmen Kementerian dalam memastikan liputan capaian internet 4G dan gentian optik di Parlimen Masjid Tanah. Bagaimanakah usaha sama yang dimainkan secara tuntas dengan Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH).

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan apakah usaha yang telah diambil untuk menurunkan harga kereta keluaran Malaysia yang dilihat akan dapat membantu meringankan beban rakyat terutama golongan muda yang baru menceburi bidang pekerjaan dalam situasi ketidaktentuan ekonomi ini.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan sejauh mana Kementerian melihat pencemaran gelombang talian mudah alih di sempadan Malaysia – Thailand terutama Padang Besar yang mengganggu isyarat rangkaian mudah alih dari pembekal di Malaysia.

Dato’ Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah [Langkawi] minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah Kementerian Pertahanan masih berhasrat meneruskan Program Perumahan untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah dirancang sebelum ini iaitu meningkatkan bilangan rumah keluarga angkatan tentera dan program Satu Anggota, Satu Rumah (SASAR).

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan bagi menyiasat dakwaan campur tangan mantan Peguam Negara dalam isu perlantikan hakim-hakim mahkamah.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan akan menyalur peruntukan untuk khidmat rakyat kepada semua Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat seperti dalam manifesto PH bagi menjamin peruntukan sama rata untuk semua ahli Parlimen termasuk pembangkang.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan akan melaksanakan cadangan Peguam Negara agar edisi Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu menjadi versi rasmi menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta PERDANA MENTERI menyatakan kaedah agihan peruntukan bagi pembangunan, geran dan pusat khidmat.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan Kerajaan untuk memastikan konsep federalisme antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri dihormati dan hak rakyat diberikan secara adil dan saksama.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Menteri Ekonomi menyatakan kriteria untuk mempercepat pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam semakan semula Bajet 2023, terutama yang dapat memberi kesan limpahan berganda kepada negara dan pendapatan rakyat.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Perdana Menteri menyatakan status penyata hutang peneroka FELDA yang sehingga kini tidak wujud yang menyebabkan peneroka FELDA tidak jelas akan perincian hutang yang harus dibayar oleh mereka.

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan mengapa capaian internet jalur lebar yang sangat lemah di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor dan cabaran yang dihadapi untuk membolehkan lebih ramai penduduk menikmati faedah internet jalur lebar.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan:

(a) status capaian internet seluruh negara; dan

(b) apakah halangan yang dihadapi bagi memungkinkan capaian internet 100% di Lembah Klang dan seluruh negeri Selangor.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah usaha yang diambil untuk menjadikan bidang perubatan dan pengubatan Islam sebagai salah satu subjek yang diajar dan diiktiraf oleh pihak Kementerian supaya setaraf dengan ilmu perubatan yang sedia ada.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan usaha-usaha yang akan dilakukan oleh Kementerian bagi menghapuskan kewujudan kartel dalam sektor bahan makanan bagi menggalakkan persaingan dan membasmi kegiatan mengaut keuntungan melampau.

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah premis KAFA seluruh negara serta jelaskan perancangan bagi menaik taraf infrastruktur premis KAFA yang berada dalam keadaan kedaifan kelas yang sesak padat.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah pemerkasaan kemahiran dan kelengkapan pegawai dan anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara selari dengan pelan Tindakan Kerajaan kepada sebagai barisan hadapan ketiga negara dalam menghadapi situasi darurat dan kecemasan.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Ekonomi menyatakan status terkini agihan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan Asas Persekutuan kepada 6 negeri kurang membangun khususnya Perlis bagi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas agar dapat menjana lebih banyak peluang ekonomi berdasarkan Pelan Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMK-12).

Tuan Sabri bin Azit [Jerai] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) adakah proses kajian untuk menaik taraf kontrak guru KAFA kepada taraf tetap telah selesai; dan

 (b) sebab para guru KAFA tidak dapat menikmati elaun minimum RM1500 dalam perkhidmatan mereka. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -