Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 70)
Nabi SAW duduk bersama sekumpulan para Sahabat. 2 orang yang bertelingkah datang menemui Baginda SAW. Salah seorang berkata: Wahai RasulAllah! Aku ada keldai. Dia ada lembu betina. Lembunya bunuh keldai aku.
Seorang Sahabat Nabi SAW yang turut hadir berkata: Tiada pampasan terhadap binatang.
Nabi SAW bersabda: Putuskan hukuman antara keduanya wahai Ali!.
Saidina Ali ra berkata kepada kedua-duanya: Adakah kedua-dua binatang itu dilepaskan atau ditambat?’ Atau salah satunya ditambat dan seekor lagi dilepaskan?
Salah seorang berkata: Keldai ditambat dan lembu dilepaskan, serta tuannya bersamanya.
Ali berkata: Tuan lembu mesti bayar pampasan kepada tuan keldai.
Nabi SAW mengiktiraf hukuman yang dijatuhkan oleh Ali dan melaksanakannya. Nabi mendahulukan pandangan Ali dari para sahabat yang lain, sedangkan umur mereka lebih tua dari Ali. Ini kerana kebijaksanaan yang ada kepada Ali. (Mukhtasar al-Mahasin al-Mujtamiah, Imam Abu Hurairah asSafuri ms 108)
Dari kisah di atas, kita dapat belajar beberapa perkara:
1) Nabi SAW sentiasa bersama para sahabat dalam apa-apa majlis, terutama ilmu. Nabi berjinak dengan sahabat. Memberi dan menerima dari mereka. Para sahabat pula tidak lekang dari Nabi SAW. Mutiara kata dari Nabi menjadi pedoman buat mereka. Demikianlah sepatutnya kita juga begitu. Sentiasa mendekati orang baik dan soleh. Menghadiri majlis ilmu agar kejahilan dapat dibuang. Duduk bersama orang soleh dan baik ibarat bersama dengan peniaga minyak wangi.
2) Di sepanjang zaman, kes dan pertikaian tetap ada. Kadang-kadang melibatkan nyawa. Kadangkala melibatkan binatang ternak dan peliharaan. Juga melibatkan hartabenda. Dalam Islam, undang-undang syarak telah sedia ada, bersedia menjadi panduan penyelesaian kepada pelbagai masalah manusia-isu peribadi, rumahtangga, masyarakat, negeri, politik, ekonomi, sosial.
Tinggal lagi setakat mana khazanah undang-undang Islam ini digali untuk diambil permatanya.
3) Dalam mengadili sesuatu kes, jangan gopoh. Perhati semua dokumen berkaitan. Panggil semua saksi terlibat. Tanya soalan yang patut ditanya. Dengar jawapannya. Analisa, nilai. Akhir sekali baharulah putuskan hukuman dengan akal yang waras, petunjuk yang bersumberkan Quran, Sunnah, Ijmak, Qias, serta bukti yang tuntas.
4) Binatang tidak berdosa. Tuan binatang juga tidak berdosa jika tersilap. Namun, Islam menetapkan kerosakan terhadap harta orang lain tetap mesti dibayar ganti, pampasan dan lain-lain. Pemerintah dan kerajaan mesti memberikan perhatian kepada bentuk pampasan ini agar ia dilakukan dengan adil kepada mereka yang berhak menerimanya.
5) Saidina Ali punya kelebihan ilmu dan kecerdikan mengatasi para sahabat yang lain. Oleh sebab itulah, Islam memuliakan ilmu, orang yang berilmu, mengangkat tinggi golongan ilmuwan dan ada pangkat istimewa di sisi Allah. – HARAKAHDAILY 22/3/2023
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.