MRSM Elit perlu pertimbangan lebih mendalam

- Advertisement -

MRSM ditubuhkan bagi menyediakan kemudahan pelajaran pada peringkat menengah dalam bidang sains dan teknologi kepada pelajar-pelajar bumiputera terutamanya B40 yang pintar cerdas, mempunyai kebolehan akademik dan intelektual yang tinggi untuk mengembangkan potensi diri mereka.

Setakat hari ini, 70 peratus pelajar MRSM adalah daripada golongan B40. Manakala 30 peratus adalah dari bukan B40. Mungkin ada sistem kuota yang diamalkan oleh MARA dalam pengambilan pelajar.

Saya mengenali ramai bekas pelajar MRSM yang lahir dalam keluarga B40, diberikan peluang belajar di MRSM dan berjaya mendapat keputusan cemerlang PMR dan SPM, seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti. Setelah mereka tamat pengajian universiti mereka berjaya mendapat pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup keluarga mereka. Mereka keluar dari keluarga tradisional B40 ke M40 atau T20. 

Saya bersetuju dengan cadangan mewujudkan MRSM Elit kerana:

a) MRSM Elit akan menjadi sumber pendapatan baru kepada MARA dan MRSM. Lebih banyak MRSM dapat ditubuhkan dengan pendapatan tambahan ini. 
b) MRSM biasa akan menjadi 100 peratus untuk pelajar B40 dan M40. 
c) Lebih ramai pelajar B40 akan mendapat tempat untuk belajar di MRSM.

Namun saya bimbang:
a) Prestasi MRSM akan merudum sekiranya MRSM Elit menjadi tumpuan utama MARA. 
b) Sekiranya syarikat Mara Corp yang menguruskan MRSM Elit mengalami kerugian, peruntukan MRSM akan digunakan untuk membiayai MRSM Elit.
c) Guru cemerlang MRSM dipindahkan ke MRSM Elit untuk menjaga prestasi MRSM Elit. Ini akan menyebabkan prestasi MRSM jatuh. 
d) Wujud ‘sosial gap’ di kalangan pelajar MRSM dan MRSM Elit.
e) MARA akan berhadapan dengan konflik fokus antara fokus korporat dengan fokus pembangunan sosioekonomi dan masyarakat luar bandar. 

Maka pandangan saya, pihak MARA perlu mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan penubuhan MRSM Elit. 

Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. 

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 22/3/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02EG4ugMonMAULhgFRcgWAtziwvtotfh5pKW1wW6ZgSwXowm7FiGaox8hsfQFAP68il&id=650875906&mibextid=Nif5oz

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -