KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diminta menjelaskan rangka strategik yang diatur untuk mengimbangkan projek yang besar kepada golongan bawahan.
Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata demikian berikutan situasi di dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Semua kaum ada industri masing-masing, tetapi realiti yang berlaku dalam negara kita ini ada kaum yang mereka membolot kekayaan dalam negara, ada kaum yang seolah-olah mereka ketinggalan di dalam bidang ini.
“Begitu juga dari sudut ekonomi negara ini supaya seimbang antara kaum yang ada di dalam negara kita.
“Mesti perkara ini distrategikan oleh pihak kerajaan, kerajaan tidak boleh membiarkan begitu sahaja,” katanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa MITI, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, jelas beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, langkah tersebut bukan bermakna kementerian menyekat syarikat-syarikat yang besar.
“Kita (ingin) membantu syarikat yang kecil yang ada di dalam negara kita ini supaya syarikat ini bangkit, maju dan akhirnya di dalam negara kita, kita lihat kestabilan dan keseimbangan ekonomi yang mampan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023