Banjir: Rel Pasir Mas-Rantau Panjang laluan alternatif

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Landasan kereta api menghubungkan Pasir Mas-Rantau Panjang yang sudah lama tidak digunakan wajar dimanfaatkan kembali bagi merancakkan ekonomi setempat.

- Advertisement -

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, landasan itu masih lagi dalam keadaan baik dan sering diguakan penduduk tempatan sebagai laluan alternatif di musim tengkujuh.

Katanya sementara menunggu rundingan dengan kerajaan Thailand bagi menggunakan semula landasan tersebut yang bersambung ke Sungai Golok, wajar dimanfaatkan terlebih dahulu laluan Rantau Panjang-Pasir Mas.

“Landasan bagi laluan tersebut masih lagi dalam keadaan baik. Jadi saya mencadangkan Kementerian Pengangkutan menggunakan semula laluan tersebut,” katanya pada perbahasan peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.

Landasan yang menghubungkan Pasir Mas-Rantau Panjang sepanjang 18.7 kilometer pernah menjadi pengangkutan utama bagi penduduk Thailand yang berkunjung ke Kelantan dan sebaliknya.

Bagaimanapun sebahagian laluan tersebut rosak akibat banjir besar pada 2014.

Pada 2015 KTMB difahamkan merancang untuk membuka semula laluan kereta api dari Pasir Mas ke Sungai Golok, Thailand.

Malah cadangan tersebut dikatakan telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan serta Majlis Keselamatan Negara.

Siti Zailah juga berkata, kementerian wajar mengkaji kesesuaian jambatan kereta api yang berusia lebih 60 tahun kerana ia membahayakan pengguna.

Beliau turut berharap Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dinaik taraf kepada status antarabangsa dan bukan sekadar membesar bangunan terminal.

Isu sama juga sebelum itu turut dibangkitkan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Siti Zailah turut berharap kerajaan menimbangkan kewujudan sebuah pelabuhan bertaraf antarabangsa di Pantai Timur bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi.

“Kerajaan juga wajar mempertimbangkan cadangan bagi menjadikan Tok Bali Supply Base kepada pelabuhan domestik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -