20 tahun Perang Iraq: Dunia dibutakan jenayah perang AS, barat

20 Mac lalu genaplah 20 tahun penaklukan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq di bawah pimpinan George W. Bush dengan alasan memiliki senjata pemusnah (WMD) dan hubungan Saddam Hussein dengan Al-Qaeda. Kedua-dua alasan ini terbukti palsu dan sengaja direka terutamanya senjata pemusnah apabila tiada satu pun senjata tersebut dijumpai oleh International Atomic Energy Agency (IAEA), satu badan yang ditubuhkan oleh PBB.

Advertisement

Laporan Akhbar The Guardian pada 7 Oktober 2004 telah menyatakan bahawa sepanjang 2 tahun pencarian yang membabitkan lebih 1,625 anggota pelbagai agensi di bawah PBB dan kerajaan Amerika Syarikat yang menelan belanja sebanyak USD1 bilion, pada akhir penyiasatan tersebut dengan jelas menyatakan bahawa tidak terdapat bukti kukuh Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein mempunyai senjata pemusnah (WMD).

Akibat daripada laporan badan perisikan Amerika Syarikat yang menyatakan Saddam Hussein dan Iraq mempunyai serta memiliki keupayaan untuk menghasilkan senjata pemusnah terutamanya senjata biologi, Amerika Syarikat, Britian dan sekutu-sekutunya tanpa mandat Majlis Keselamatan PBB dan PBB sendiri bertindak secara unilateral membelakangkan dunia telah menyerang Iraq.

Peperangan tersebut telah mengorbankan lebih dari setengah juta rakyat Iraq dengan ratusan ribu lagi yang menjadi pelarian perang. Kesan daripada peperangan tersebut boleh dilihat sehingga ke hari ini. Kebanyakkan daerah mahupun bandar yang menerima kesan teruk akibat peperanagna tersebut seperti tidak mampu bangkit sama sekali dan kebanyakkan tempat masih lagi tidak memiliki kemudahan asas yang sempurna seperti bekalan eletrik dan air yang bersih yang terawat serta banyak lagi kemudahan asas yang lain.

Runtuhan bangunan masih lagi kelihatan di merata tempat. Ekonominya masih lagi lemah dan banyak bergantung kepada bantuan asing. Iraq sehingga saat ini masih lagi bergelumang dengan krisis samada dalaman mahupun luaran. Penaklukan Amerika Syarikat dan sekutunya langsung tidak membawa kebaikan seperti didakwa malahan meranapkan Iraq dari segenap sudut sehingga ke hari ini.

Terbukti alasan sebenar penaklukan Amerika Syarikat ke atas Iraq adalah untuk menjaga keselamatan negara haram Israel, mengawal pengaruh Iran dan memperkukuhkan hegemoninya di Asia Barat. Rejim zionis Israel adalah ibu kepada segala kejahatan dan “warmonger“. Mana-mana negara yang dilihat mengancam keselamatan dan kekuatannya akan dianggap musuh oleh Barat.

Akhbar Al-Hayaat dalam Bahasa Arab yang berpusat di London dalam satu laporannya pada tahun 2003 melaporkan strategi pecah perintah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat ke atas Iraq telah menjadi model ke atas negara-negara lain di Asia Barat khususnya dan di Dunia Islam umumnya.

Iraq sebelum penaklukan Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang mempunyai majoriti pengikut Sunni dan diikuti oleh pengikut Syiah khususnya di sebelah Selatan Iraq. Kehidupan rakyat Iraq pada masa itu aman dan harmoni walaupun berdepan dengan sekatan PBB. Setelah Iraq ditakluk, Amerika Syarikat memecahbelahkan penduduk Iraq kepada suku kaum, bangsa dan mazhab untuk melaga-lagakan mereka.

Dari sudut kaum dan bangsa, Iraq dipecahkan kepada Arab, Kurdis dan Turkuman. Dari sudut mazhab pula ia dipecahkan kepada Sunni dan Syiah. Di zaman Saddam Hussein semua kaum dan mazhab disatukan justeru menjadikan pengikut Sunni sebagai majoriti kerana lebih 90 peratus bangsa Kurdis dan Turkuman adalah Sunni.

Namun setelah Iraq ditakluk, Amerika Syarikat memecah-mecahkan segmen ini sehingga menjadikan pengikut Syiah sebagai majoriti dengan hanya mengambil kira bangsa Arab dan mengeluarkan bangsa Kurdis dan Turkuman. Maka jika kita lihat selepas penaklukan Iraq oleh Amerika Syarikat, berlaku perseteruan antara mazhab dan bangsa yang mengakibatkan ramai yang terkorban.

Ia satu langkah bijak yang licik dan jahat oleh Amerika Syarikat yang menyaksikan perbalahan sesama mazhab dan bangsa itu terus berlarutan dan dalam masa yang sama Amerika Syarikat mengaut kekayaan bumi Iraq. Regim zionis Israel pula dalam masa sama menyusup masuk ke dalam Iraq terutamanya di wilayah autonomi Kurdis untuk mengatur strategi menggunakan Iraq sebagai platform perluasan kuasa dan kawasan seperti mana yang tertera dalam pelan “The Greater Israel“.

Namun strategi tersebut memakan tuan apabila Iran dengan bijak mengambil peluang dan berjaya menguasai Iraq. Begitu juga perancangan Amerika Syarikat di Syria dengan menggunakan model yang sama namun tidak menjadi. Kerajaan Iraq dan rakyatnya menghendaki Amerika Syarikat keluar dari negara mereka manakala di Syria, Amerika Syarikat telah hilang pengaruh dan dipinggirkan malah dijangka akan keluar dari Syria.

Perkembangan terkini terutamanya pemulihan hubungan antara Arab Saudi dan Iran dijangka akan memberikan impak besar terhadap Iraq terutamanya kestabilan politik dalaman yang membabitkan krisis politik antara Muqtada Al Sadr dan Kerajaan Iraq termasuk juga yang membabitkan kumpulan-kumpulan pejuang Iraq yang disokong Iran yang dijangka akan mampu diselesaikan tidak lama lagi.

Tambahan pula beberapa hari selepas ditandatangani perjanjian pemulihan hubungan antara Arab Saudi dan Iran, Iran dan Iraq telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk memperketatkan kawalan keselamatan ke atas sempadan kedua-dua negara tersebut di mana tujuan utamanya adalah untuk menghalang militia Kurdis yang disokong Barat dari bergerak bebas memporakperandakan kestabilan kedua-dua negara.

China yang memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan hubungan antara Arab Saudi dan Iran adalah penyumbang pembangunan ekonomi terbesar di Iraq ketika ini terutamanya pembangunan infrastruktur dan perdagangan daripada insiatif “Belt and Road“ di samping pengimport terbesar minyak mentah Iraq. Sudah tentu dengan pengaruh China yang semakin besar di Asia Barat ketika ini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan semula Iraq dari pelbagai sudut.

Rusia juga sebenarnya mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap Iraq terutamanya ketika era pemerintahan Saddam Hussein dari sudut ketenteraan. Kunjungan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov ke Iraq hujung tahun lalu menemui Presiden dan Perdana Menteri Iraq dalam usaha untuk mengadakan kerjasama strategik politik, ekonomi dan ketenteraan telah mula medebarkan Barat terutamanya rejim zionis Israel yang mendapat liputan meluas media-media di negara haram Israel yang mula khuatir dengan tindak tanduk Rusia.

Barat serta anak emasnya rejim zionis Israel sudah tentu tidak mahu melepaskan Iraq kerana Iraq adalah salah satu daripada pelan awal perluasan kuasa rejim zionis Israel di Asia Barat iaitu ‘The Greater Israel’. Menurut kebanyakan penganalisa geopolitik dunia, jika Iraq terlepas ke tangan China-Rusia bermakna akan mula terungkailah pengaruh kekuasaan hegemoni Barat terutamanya Amerika Syarikat ke atas Asia Barat dan gagallah kesinambungan pelan rejim zionis Israel untuk “The Greater Israel“.

Namun nasib Iraq tidak seindah Ukraine. Iraq langsung tidak dibela malah dikecam serta diserang habis-habisan. Rakyat Iraq tidak mendapat keadilan dan penderitaan mereka tidak mendapat liputan meluas di media-media utama dunia sebagaimana Ukraine ketika ini. Hasil bumi Iraq dijarah, hasil minyak dan gas Iraq “dirompak“ namun rakyat Iraq dibiarkan menderita. Tidak ada bantuan berbilion dolar, tidak ada liputan di Kongres Amerika Syarikat, Forum Kesatuan Eropah dan sebagainya, itulah ketidakadilan yang berlaku ke atas Iraq dan rakyatnya.

Dalam kehangatan Amerika Syarikat dan Barat mengecam Rusia kerana operasi ketenteraan khasnya ke atas Ukraine termasuk cubaan mengheret Presiden Rusia Vladimir Putin ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan kononya melakukan jenayah perang, jangan lupa pencerobohan, serangan dan penaklukan Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq yang telah mengakibatkan lebih kurang setengah juta rakyat Iraq terkorban, puluhan ribu menjadi pelarian perang, hasil bumi dirompak dan Iraq musnah menyembah bumi.

Mengapa tidak diheret “penceroboh“ ini dan pemimpinnya ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa setelah 20 tahun berlalu? Mengapa tidak dikenakan pelbagai sekatan sebagaimana yang dikenakan ke atas Rusia ketika ini? Mengapa tidak diadakan Sidang Khas PBB atau Majlis Keselamatan PBB untuk mengecam tindakan pencerobohan ke atas Iraq? Kerana inilah sebenarnya sikap hipokrit Barat, sikap berat sebelah yang hanya berpandukan kepentingan mereka semata-mata.

Saat ini sudah mula terserlah tanda-tanda dan usaha ke arah kesatuan dan perpaduan di kalangan negara-negara Asia Barat dan diharap ianya berkembang ke seluruh negara Dunia Islam. Jika dalam masa beberapa ketika usaha ini berjaya meleraikan banyak kekusutan, kekeliruan dan persengketaan yang selama ini menjadi kekangan mahupun halangan ke atas perpaduan ummah, percayalah Dunia Islam akan mempu bangkit kembali menerajui dunia.

Namun begitu usah alpa kerana musuh-musuh Dunia Islam tidak akan berpeluk tubuh dan bersenang lenang dengan permulaan kejayaan yang dikecapi ketika ini kerana pastinya akan ada usaha untuk merosak dan menggagalkannya. Berpeganglah kepada ajaran Islam yang sebenar kerana pastinya hanya Islam sahaja yang mampu menyatukan seluruh umat manusia sehingga ke akhir zaman.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 22/3/2023