Pusat disaran pertimbang hutang projek Lebuh Raya Rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berharap jasa baik wakil kerajaan pusat dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) supaya berunding untuk menyelesaikan hutang RM60 juta berkaitan Lebuh Raya Rakyat.

- Advertisement -

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, Lebuh Raya Rakyat merupakan sebahagian pakej dalam projek pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai.

Menurut beliau, projek tersebut membabitkan pakej 3B iaitu dari Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab sepanjang 10 kilometer dan diserah kepada kerajaan pusat untuk disiapkan.

“Kerajaan pusat sudah setuju untuk ambil projek lebuh raya rakyat, cuma dia ambil tanpa liabiliti kita, hutang kita lebih RM60 juta lebih dan telah bayar sikit-sikit.

“Sekarang sudah tinggal RM53 juta, minta jasa baik Kok Lanas untuk ambil sekali dengan hutang-hutang tersebut insyaAllah,” katanya menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Sr Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) pada persidangan DUN hari ini.

Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu Kuala Krai sepanjang 66.8 kilometer, dipecahkan kepada tujuh pakej yang bernilai RM2.3 bilion, lima dalam proses pembinaan dan dua sudah siap sepenuhnya.

Pakej 1B yang membabit Pasir Hor ke Kadok, Pakej 2B Kadok ke Ketereh sudah siap, namun laluan Ketereh-Kok Lanas masih di peringkat pembinaan yang sepatutnya sudah siap sepenuhnya.

“Tetapi pembinaan sebenarnya 80 peratus, pemaju tetap menjalankan pakej ini dalam keadaan dia dikenakan didenda hari-hari, dendanya lebih kurang RM30,000 sehari.

“Manakala pakej 2C dan 3A Kok Lanas-Bukit Tiu di peringkat pembinaan dan dijangka siap pada 5 Mac 2025.

“Pakej ini juga dalam proses pembinaan dan insyaAllah akan disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, perkembangan dalam peringkat pembinaan kemajuan 7.26 peratus,” katanya.

Lebuh Raya Rakyat sebelum ini dibina sendiri kerajaan negeri selepas ia tidak mendapat perhatian kerajaan pusat.

Bagaimanapun selepas kerajaan negeri memulakan projek tersebut kerajaan pusat meluluskan projek lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -