Permohonan Pejuang sertai PERIKATAN NASIONAL ditolak

Dato' Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PERIKATAN NASIONAL (PN), semalam membuat keputusan menolak permohonan kemasukan parti Pejuang Tanahair ke PN.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr. Dominic Lau dan semua wakil parti-parti anggota.

“Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan parti Pejuang Tanahair ke PERIKATAN NASIONAL,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Majlis Tertinggi juga membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri Kedah, Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan dan menggunakan lambang parti PAS di Kelantan serta Terengganu.

Tambahnya, majlis tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi.

Katanya lagi, Majlis Tertinggi PN juga mengumumkan pelantikan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Sabah dan Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut memaklumkan turut diputuskan ialah pelantikan Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Muhd Khidir Izaidin sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif PN. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -