Perincikan projek tebatan banjir berjaya jimat RM2 bilion

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Menteri Kewangan memperincikan projek tebatan banjir yang berjaya menjimatkan RM2 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri tempoh hari.

- Advertisement -

Beliau juga mahu menteri berkenaan menyatakan syarikat yang telah dilantik dan projek yang dilaksanakan dalam penjimatan tersebut.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS mengemukakan soalan itu pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan sama ada Kementerian akan mengusahakan elaun penjagaan warga emas bagi penjaga warga emas dan ahli keluarga seperti yang dinyatakan di dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum ini.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah penyelesaian berkenaan isu kekurangan ayam daging dan telur ayam di pasaran Malaysia.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Pendidikan menyatakan usaha Kementerian mengatasi peningkatan harga makanan di kantin sekolah akibat harga bahan mentah yang tinggi di pasaran.

Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Kerja Raya menyatakan status terkini tahap kesiapan dan kos keseluruhan Projek Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai–Gua Musang dan bilakah ianya akan dapat digunakan sepenuhnya.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana Kementerian melihat implikasi pelaksanaan Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2002 Pindaan 2006 mampu membantu Kerajaan negeri terutama negeri Perlis yang merupakan negeri terkecil dan adakah perancangan untuk menilai semula kadar tersebut.

Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah terdapat perancangan untuk menjadikan Bandar Seberang Perak sebagai hab pelancongan apabila siapnya jambatan Bagan Datuk tidak lama lagi.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Kewangan menyatakan perkembangan terkini kajian yang dijalankan oleh Kerajaan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan apakah insentif yang diberikan untuk membantu pihak majikan sektor swasta membuka taska di tempat kerja.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh mana pemantauan harga dan kualiti nutrisi makanan yang dijual di kantin sekolah dilaksanakan.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Pendidikan menyatakan tentang keberkesanan agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) baru-baru ini.

Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah status terkini projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Kewangan menyatakan:

(a) statistik mangsa yang melaporkan kehilangan wang daripada institusi perbankan di seluruh negara sepanjang tahun 2022; dan

(b) usaha Kementerian menangani isu kelemahan sekuriti bank yang semakin mendatangkan kegusaran rakyat.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Menteri Kewangan menyatakan pendirian Kementerian untuk menyemak semula peruntukan dalam akta-akta berkaitan industri perjudian bagi mengurangkan ketagihan berjudi dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan semula GST dan berapakah kadar peratusan GST tersebut jika ianya dilaksanakan.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Kewangan menyatakan:

(a) jumlah penerima bantuan skim MySalam sehingga kini; dan

(b) adakah perancangan dari pihak Kementerian untuk menambah baik manfaat skim ini supaya perkhidmatan boleh diguna pakai di klinik kesihatan swasta.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Kewangan menyatakan:

(a) perincian Projek Tebatan Banjir yang berjaya menjimatkan RM2 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri tempoh hari; dan

 (b) syarikat yang telah dilantik dan projek yang dilaksanakan dalam penjimatan tersebut.

Dato’ Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [Bukit Gantang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan mengapa tindakan penyelenggaraan Laluan Persekutuan yang sudah uzur dan rosak di Jalan Persekutuan FT0001 Jalan Ipoh–Butterworth, FT060 dan FT061 Jalan Batu Hampar–Changkat Jering dan FT0074 Jalan Kuala Sepetang–Taiping tidak dijalankan sepenuhnya yang boleh memudaratkan pengguna jalan raya. Bagaimana pula dengan laluan-laluan seperti FT0001 Jalan Ipoh–Butterworth,FT060/FT061 Jalan Batu Hampar–Changkat Jering dan FT0074 Jalan Kuala Sepetang-Taiping, bilakah kerja penyelenggaraan dapat dibuat.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah Kementerian untuk membendung masalah gejala sosial seperti gengsterisme, dadah dan buli di sekolah.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah wujud polisi di pihak Kementerian untuk mengawal kadar ekuiti saham pelaburan asing bagi mengukuhkan pegangan saham tempatan.

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan mengapa harga kelapa sawit turun merudum sedangkan harga barang makanan dan keperluan asas seperti minyak masak semakin naik mencanak. Bagaimana libat urus Kerajaan dan pihak industri untuk menaikkan harga kelapa sawit dan menurunkan harga barang keperluan untuk kesejahteraan rakyat khususnya pekebun kecil kelapa sawit.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan sejauh mana keberkesanan program Malaysian Palm Oil Training Centre (PLASMA) dalam menyediakan tenaga kerja untuk industri perladangan sawit negara.

Waktu Pertanyaan Menteri

Datuk Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Perdana Menteri menyatakan justifikasi cadangan kepada pencarum agar membuat pinjaman bank dengan cagaran wang KWSP dan berapa kadar faedah yang akan dikenakan kepada pencarum yang layak dipertimbangkan untuk skim ini. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -