Pemberian Mengikut Bilangan Orang tidak dinilai semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemberian Mengikut Bilangan Orang merupakan pemberian selaras dengan peruntukan Perkara 109(1)(a), Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan membantu kerajaan negeri dalam perbelanjaan mengurus.

- Advertisement -

“Pemberian ini dibuat berdasarkan kepada bancian penduduk oleh Jabatan Perangkaan dan penyalurannya kepada negeri-negeri dibuat sebanyak dua kali setahun, iaitu pada bulan Januari dan Jun setiap tahun,” kata Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis kepada soalan Rushdan Rusmi [PN-Padang Besar] di Dewan Rakyat.

Dalam konteks negeri Perlis, kata kementerian itu amaun Pemberian Mengikut Bilangan Orang menunjukkan peningkatan pada setiap tahun.

Pada tahun 2021, ujarnya Kerajaan Negeri Perlis menerima peruntukan bagi pemberian itu sebanyak RM8.88 juta dan meningkat sebanyak RM0.04 juta yang membawa kepada jumlah sebanyak RM8.92 juta (0.45 peratus) pada tahun 2022.

Tambahnya, Pemberian Mengikut Bilangan Orang disalurkan terus sebagai terimaan kepada Kerajaan Negeri Perlis yang boleh digunakan untuk membantu perbelanjaan mengurus merangkumi emolumen, bayaran perkhidmatan dan bekalan serta lain-lain bayaran yang bersifat komited dan kontraktual.

“Pada ketika ini, Kementerian Kewangan tiada perancangan untuk menilai semula kadar tersebut memandangkan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang telah dipinda beberapa kali dan kadar yang diguna pakai pada masa ini adalah berdasarkan kepada pindaan yang diluluskan pada bulan Julai 2002 melalui Akta 622 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2002,” katanya lagi.

Rushdan dalam soalannya meminta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana Kementerian melihat implikasi pelaksanaan Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2002 Pindaan 2006 mampu membantu kerajaan negeri terutama negeri Perlis yang merupakan negeri terkecil dan adakah perancangan untuk menilai semula kadar tersebut. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -