PAS difitnah halang pembinaan kuil

- Advertisement -

LAWATAN ke tapak kuil tanpa izin berhampiran Kampung Sijangkang yang menjadi tular setelah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuala Langat YB Dato Dr Ahmad Yunus Hairi di Dewan Rakyat.

Pihak tertentu menabur fitnah kononnya PAS menjadi dalang menghalang pembinaan kuil. Kononnya PAS ekstremis dan tidak bertolak ansur.

Isunya adalah pembinaan tempat ibadat tanpa kelulusan PBT dan MMKN. Semua tempat ibadat termasuklah masjid dan surau perlu mematuhi garis panduan PBT dan Pihak Berkuasa Negeri.

Dalam hal ini penduduk tempatan yang hampir 100 peratus Melayu Islam membantah kerana tidak pernah dimaklum atau dilibatkan. Rupanya ia tiada kelulusan.

Saya dan Pegawai Khas Media dan Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Melayu Pesuruhjaya PAS Selangor telah turun ke tapak iaitu di sempadan pentadbiran MPK dan MPKL untuk membuat tinjauan dan berjumpa penduduk tempatan.

Berikut penjelasan dari pihak Majlis Perbandaran Klang:

Kuil tanpa izin di Batu 7, Jalan Langat yang tular di media sosial tidak pernah diberikan kelulusan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) seperti didakwa sesetengah pihak.

Pengarah Komunikasi Korporat, Norfiza Mahfiz berkata, merujuk Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang 2035, zon guna tanah tapak cadangan adalah untuk ‘institusi dan kemudahan masyarakat’ serta tapak cadangan telah diwartakan pada 28 April 2016 bagi tujuan kuil namun syarat menetapkan ia hendaklah mempunyai kawalan serta perlu diselenggara oleh sebuah persatuan agama.

Menurutnya, setelah beberapa kali perbincangan dibuat bersama pemaju dan pihak kuil, permohonan ini dibentangkan semula di Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) pada 9 September 2020 dan memutuskan permohonan ditolak mengambil kira beberapa faktor antaranya tiada kemudahan infrastruktur sedia ada (jalan dan perparitan) yang sempurna dari jalan utama ke tapak mengikut spesifikasi Jabatan Kejuruteraan.

“Selain daripada itu, permohonan juga menimbulkan keraguan memandangkan pembinaan bangunan kuil tidak berada di tapak yang tepat berdasarkan tiada perimeter jalan dan perparitan di lokasi yang dikhaskan untuk bangunan kuil.

“Majlis membuat keputusan untuk menangguhkan projek-projek baru pemaju utama (Tetuan KSL Development Sdn. Bhd) yang belum mempunyai Kebenaran Merancang pendirian bangunan kecuali projek Rumah Selangorku dan kedai mampu milik sehingga pemaju menyelesaikan isu infra dengan Jabatan Kejuruteraan,” katanya.

Terkini, majlis menerima lagi bantahan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat di mana penduduk Kampung Sijangkang, Kampung Medan, Kampung Kebun Bharu Batu 9 yang menganggap pembinaan kuil itu tidak sesuai memandangkan ia berhampiran kampung-kampung yang didiami oleh penduduk yang majoritinya orang Melayu beragama Islam.

Menurut penduduk, pembinaan kuil berdekatan kawasan kampung akan menimbulkan pelbagai masalah kerana akan menggunakan laluan Batu 7 Sempadan sebagai laluan utama.

Tambah Norfiza, notis peringatan memberhentikan aktiviti telah dikeluarkan kepada persatuan agama berkenaan pada 28 Februari 2023 dan satu lawatan tapak pada 1 Mac 2023 melibatkan ahli majlis MPK, ahli majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPK) dan pimpinan setempat telah dilakukan ke situ.

Majlis juga bakal mengadakan Mesyuarat Pendengaran Awam bagi mendengar alasan bantahan kedua-dua pihak dan dalam masa yang sama perkara ini akan di bawa ke Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) untuk keputusan terkini isu berkenaan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -