Kelantan mohon bina 5 padang sintetik

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengemukakan lima permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi cadangan membina dan menaik taraf kemudahan padang sintetik.

- Advertisement -

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, Kelantan kekurangan kemudahan itu, sedangkan ia mendapat sambutan menggalakkan golongan belia.

Menurutnya rumput tiruan merupakan produk berasaskan bahan fiber sintetik digunakan seakan-akan rumput bagi pelbagai kegunaan terutamanya padang sukan bola sepak.

“Kita mencadangkan membina padang bola sintetik di tapak Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Bandar Baharu Tunjung dan di Pusat Aktiviti Komuniti di Gua Musang.

“Selain itu membina Kompleks Sukan Komuniti di Pasir Puteh, menaiktaraf Pusat Sukan Tanah Merah dan membina kemudahan sukan di padang bola Taman Desa Kemuning Padang Tembak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjung Mas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di sini hari ini.

Wan Roslan juga berkata, kerajaan negeri sudah menerima surat tawaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaiktaraf padang bola sepak di Stadium Sultan Muhammad IV.

Katanya KBS memaklumkan perkara itu melalui surat tawaran untuk menukar padang rumput padang di stadium yang dianggar berharga RM1 juta dan perbelanjaannya 50-50.

“Surat itu sudah saya panjang kepada Perbadanan Stadium untuk diteliti dengan kos penyelenggaran dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Rozi Mohamad (PAS-Tendong). – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -