Jaulah Lestari ke perkampungan orang asal Keeb, Kuala Mu

- Advertisement -

PERJALANAN jauh relawan daripada pelbagai arah tanah air ini seakan sirna apabila melihat keindahan kampung orang asal (KOA) Keeb (bermaksud lipan dalam bahasa Temiar). Udara yang dingin di waktu malam mengingatkan kita kondisi Cameron Highlands, dengan desir bunyi angin menikam batu sungai. Jarang kita temui surau di KOA yang meriah, Surau al-Hidayah KOA Keeb mendapat anugerah naib johan peringkat kebangsaan, surau yang aktif. Beberapa penduduk menyambut kedatangan rombongan dengan hangat, Pak Roseman merangkul tubuhku dengan erat, “sampai lagi ya ustaz ke sini” dengan senyum meleret, tatapan bola matanya cerah dan mendamaikan.

- Advertisement -

Cuaca panas terik bulan Syaaban tengah hari yang menikam ubun-ubun kepala sangat menginsafkan kami, belasan pacuan empat roda milik relawan kelab 4×4 Republik (kelab pacuan empat roda berkebajikan Malaysia) memunggah pelbagai barang bantuan daripada daerah Besut. Empat ketumbukan relawan, dari utara, selatan, Pantai Timur dan Lembah Klang memeriahkan misi Jaulah Lestari. Mendekati masyarakat kaum asal yang sebahagian masih tak tersentuh hidayah di Kuala Mu, Sungai Siput Perak.

Ramadhan makin menggamit dengan cuaca semakin membahang di waktu siang. Merenung anak-anak asal dengan persekitaran yang alami, anjing-anjing yang bebas berkeliaran dengan lingkungan sosial sebegitu sangat menceriakan relung hati kami. Lokasi bantuan di Kampung Keeb, KOA Penyel, KOA Bersah, Kuala Mu dengan enam buah kampung yang menerima batuan beras, telekung solat, jamuan rakyat serta pelbagai barang permainan kanak-kanak, jajan buat anak-anak dan remaja orang asal.

Jaulah Lestari, bukan sekadar mendekati mereka dengan elemen seni dan hiburan patuh syariah namun menyumbang bantuan untuk bulan Ramadan. Pelbagai pihak berkolaborasi dalam jaulah ini termasuk BAKIP, Geng Talaqi, Republik 4×4, ASAS, Masjid Toyyibin dengan seramai 62 orang relawan tegar yang pernah terlibat dalam pelbagai misi dalam dan luar negara sebelum ini. Misi ini turut diikuti Zuar XPDC yang menjayakan dua pentas busking dakwah yang mendapat sambutan meriah penduduk orang asal. Antara acara sisipan yang diadakan seperti forum perdana ambang Ramadan, kuliah subuh, jamuan rakyat, kuiz kanak-kanak, serahan sumbangan serta bantuan Ramadan.

Kami menyambung misi ke Kuala Mu, dengan populasinya masih separuh belum Islam, sebahagian relawan tidur di dalam khemah dan juga pondok buluh. Kenyamanan Kuala Mu memang menguja akal dengan udara bersih dan santapan mata seolah berada di Balkan. Acara dakwah kepada masyarakat tempatan, juga etnik Temiar yang mendiami pondok dangau anyaman buluh yang eksotik, bersahabat dengan kehidupan alam yang mendamaikan namun tanpa mobiliti sosial. Tanpa ilmu dan kepakaran mereka akan berputar dalam lingkaran ganas kemiskinan, mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup dan mengukangi rutin yang sama. Hati bagai direnyuk apabila rombongan kami ditawar dengan buah-buahan, “nanti datanglah musim durian sekitar bulan lapan ni” tukas seorang lelaki separuh baya. Aku menyedari ajakan itu sangat ikhlas, mereka ingin bersahabat atas dasar akidah.

Tanggungjawab mencerahkan mereka tentang Islam sangat besar di pundak kita semua orang beriman, bukan hanya memberikan makanan yang akan melepaskan rasa lapar namun juga aspek tarbiah. Menjiwai dan berempati dengan korpus kehidupan anak-anak orang asal yang nyata kekurangan sentuhan tarbiah. “Banyak dah berubah Kuala Mu ini, dulu kalau di Keeb hanya 60 peratus sahaja yang Islam, belasan tahun dahulu kami masuk ke Kuala Mu dengan pacuan empat roda, sekarang jalan bertar dan cantik,” ujar Abang Nor Zamri Latiff, Yang Dipertua PAS Nibong Tebal yang juga pimpinan Khidmat Malaysia Pulau Pinang. “Antara yang aktif berdakwah di sini seperti Ustaz Ranee Khan, akhi Muhd Solehin Abu Bakar, Ustaz Wan dan lain-lain, banyak yang berubah dengan izin  Allah,” tukas Abang Zamri lagi.

Usaha pendakwahan ini akan dibantu oleh aktivis dan pendakwah yang cakna akan nasib masyarakat orang asal, bahkan ada yang sanggup berkahwin dengan orang asal demi menjayakan usaha dakwah dan membantu mereka perlu digalang secara berterusan dan bersasar. Lestari bukan sahaja melihat kesenian dan kebudayaan sebagai alat pemudah kerja dakwah, namun usaha dakwah mestilah teratur. Pelbagai rancangan akan dilaksanakan dalam tahun 2023 ini secara bersinergi dengan rakan-rakan NGO yang prihatin dalam isu dan fokus ini. Objektifnya untuk memastikan penduduk orang asal terutama kanak-kanak di sini terus mendapat manfaat dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam kehidupan mereka.

Pemusafiran dakwah dan berkebajikan selama tiga hari ini sangat meruntun sukma. Sarat dengan pengajaran dan menambah koleksi pengalaman dalam kampus kehidupan, melihat guratan wajah mereka agar sentiasa ukhuwah kami bersambung. Penduduk KOA Keeb mengadakan majlis iftar selama sebulan Ramadan di surau mereka. Memasak secara gotong royong, mengadakan solat tarawih dan pastinya berpuasa adalah ujian besar kepada mualaf orang asal. Saudara Azuar Md Tasi (Zuar XPDC) sering mengingatkan mereka agar sentiasa mencari majlis ilmu dan berhibur sekadarnya. Abang Mc Joe, menghiburkan kanak-kanak orang asal dengan pertunjukan akrobatik pesawat kecil. Seronok tak terkata melihat pesawat kecil terbang di langit kampung mereka seolah menonton sarkas.

Syahadah kita adalah manifestasi rasa bersaudara dan saling membantu ummah yang dijeruk kepayahan. Ya Allah, semoga kami semua dapat menjadi tetamu Ramadan-Mu, diampunkan dosa-dosa kami, diistiqamahkan kami di atas jalan ini! – HARAKAHDAILY 21/3/2023

Penulis ialah relawan misi bantuan tanpa sempadan.

- Advertisement -