Jambatan Bagan Datuk bakal merancakkan ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) percaya pembinaan jambatan Bagan Datuk bakal merancakkan ekonomi dan memanfaatkan warga Parlimen Pasir Salak dan Bagan Datuk.

- Advertisement -

Menterinya, Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, MOTAC difahamkan kawasan di sekitar jambatan tersebut adalah hak milik persendirian dan Kerajaan Negeri Perak tiada rancangan untuk membuat pengambilalihan tanah.

Sungguhpun begitu, ujarnya dalam usaha membantu merancakkan sektor pelancongan di Bandar Seberang Perak, MOTAC telah menyalurkan sebanyak RM20,000 kepada kawasan Seberang Perak bagi kerja-kerja memasang papan tanda arah dan mercu tanda homestay Felcra Seberang Perak di bawah peruntukan Peningkatan Kemudahan Pelancongan Tahun 2020.

Menurutnya, MOTAC sentiasa bersedia untuk memperhalusi dan menyokong sekiranya terdapat sebarang permohonan projek pembangunan yang mampu memberikan nilai tambah dan menjadi tarikan utama kepada pelancong domestik mahupun antarabangsa di bandar Seberang Perak khususnya dan negeri Perak amnya di masa hadapan.

“Sebarang permohonan projek hendaklah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak untuk diangkat kepada kementerian ini sebelum mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Jamaludin Yahya [PN-Pasir Salak] di Dewan Rakyat.

Dalam soalannya, Jamaludin meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah terdapat perancangan untuk menjadikan Bandar Seberang Perak sebagai hab pelancongan apabila siapnya jambatan Bagan Datuk tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -