Dun Kelantan lulus cadangan runding segera isu royalti

Dato' Hassan Mohamood
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini melulus cadangan supaya rundingan segera diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengembalikan royalti petroleum.

- Advertisement -

Dato’ Hassan Mohamood (PAS-Tawang) ketika membentang cadangan itu berharap Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob mengadakan rundingan segera dengan Perdana Menteri.

Adun Tawang bangkit mencadangkan perkara itu selepas sesi soal jawab pada persidangan DUN Kelantan hari kedua.

Cadangan itu kemudian mendapat sokongan semua Adun selepas diminta sokongan oleh Speaker Datuk Abdullah Ya’kub.

Menurutnya beliau menerima cadangan tersebut kerana memenuhi syarat ditetapkan iaitu perkara tertentu, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

“Maka DUN Kelantan yang bersidang hari ini menerima cadangan daripada Adun Tawang bagi meminta Menteri Besar mengadakan rundingan segera dengan Perdana Menteri untuk mengembalikan hak royalti kepada Kelantan.

“Oleh itu saya meminta sokongan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat. Maka cadangan ini diterima dan diluluskan,” kata Speaker selepas cadangan itu mendapat sokongan semua Adun.

Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor berkata Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

Ini kerana menurutnya Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Bagaimanapun pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah pada banyak kenyataan sebelum menjelaskan tidak berbangkit istilah tiga batu nautika ketika perjanjian itu ditangani pada 1975. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -