Caj air mentah: P Pinang tidak endah tuntutan Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehingga kini Kerajaan Pulau Pinang masih dengan sikap yang sama tidak mengendahkan royalti caj air mentah yang dituntut Kedah.

- Advertisement -

Oleh yang demikian beliau menyarankan agar kerajaan pusat menjadi ‘moderator’ bagi menyelesaikan isu air yang melibatkan negeri berkenaan.

“Isu ini memerlukan orang tengah untuk mengendalikan pertemuan dan perundingan. Saya mengharapkan kerajaan pusat dapat berfungsi sebagai ‘moderator’ untuk hal ini.

“Namun sehingga kini belum lagi ada apa-apa tindakan dan peranan yang dimainkan oleh kerajaan pusat berhubung isu ini,” jelas beliau semasa ditemui pada majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2023 peringkat negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah berusaha mengadakan pertemuan tetapi di bawah menteri kerajaan kini masih tiada lagi.

Kata beliau, pihaknya tidak akan berhenti menuntut hak terbabit dari Pulau Pinang dan dalam masa yang sama kerajaan pusat sekarang khususnya kementerian berkenaan perlu mengambil inisiatif untuk membantu menyelesaikan isu ini.

“Isu tuntutan royalti air semua orang faham. Ia bukan sahaja berkait dengan kos penyelenggeraan sahaja yang kita (Kedah) keluarkan tetapi kos-kos lain yang terpaksa kita korbankan dan lepaskan juga banyak dan tinggi, jadi Pulau Pinang bayarlah,” tambahnya.

Berhubung dengan masalah air di Kedah terutama di musim kemarau, kata beliau, buat masa ini masalah itu tidak berada pada tahap kritikal kerana takungan air di beberapa empangan di negeri itu masih berada paras yang sempurna dan mencukupi.

“Beberapa empangan di bawah selian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) paras air masih stabil.

“Kita juga minta Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk memperbanyakan penghantaran air menggunakan lori ke kawasan dan kediaman yang tidak mendapat bekalan air yang cukup,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -