Cagaran KWSP: Adakah PM dapat nasihat Peguam Negara?

Dato’ Muslimin Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Adakah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendapat nasihat dari Peguam Negara berkaitan Seksyen 51 Akta KWSP,” kata Dato’ Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar).

- Advertisement -

Beliau bertanyakan demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, terdapat pelbagai pandangan bahawa pinjaman tersebut melanggari Seksyen 51 Akta KWSP, namun telah dinafikan oleh Perdana Menteri.

“Apakah kaedah pengurusan risiko kemungkinan sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang mereka,” katanya lagi.

Anwar, ketika menjawab perkara itu berkata, tiada percanggahan pinjaman berkenaan dengan seksyen itu dan pihaknya juga telah merujuk kepada penasihat undang-undang dan peguam negara.

“Ketika ini, sebanyak 20 negara telah menghentikan kelulusan tambahan tanpa kecuali selepas memberi keizinan mengeluarkan tabung simpanan hari tua mereka semasa menghadapi Covid-19 lepas.

“Kita juga menggunakan kaedah kewangan Islam iaitu dengan kos perkhidmatan yang minima, namun kita tidak menghalang ahli bukan Islam yang mahu menggunakan bank konvesional,” katanya.

Muslimin dalam soalan asal meminta Perdana Menteri menyatakan justifikasi cadangan kepada pencarum agar membuat pinjaman bank dengan cagaran wang KWSP dan kadar faedah yang akan dikenakan kepada pencarum yang layak dipertimbangkan untuk skim itu.

Untuk makluman, Seksyen 51 Akta KWSP menyebut, caruman dan deposit tidak boleh diserah hak atau ditahan. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -